suria

Samy, sediakan dulu RM3.2 juta sebelum bincang - Guan Eng

PULAU PINANG: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng memberitahu Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu bahawa mereka hanya boleh bertemu bagi berbincang mengenai isu Kampung Buah Pala sekiranya sejumlah wang yang dijanjikan oleh Samy Vellu bagi menyelesaikan isu tersebut ditunaikan terlebih dahulu.

"Bagi wang dulu, baru kita jumpa dan berbincang. Kalau tak ada wang, nak jumpa buat apa," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Samy Vellu semalam bahawa beliau sanggup menemui Lim dalam masa terdekat bagi membincangkan masalah Kampung Buah Pala, di mana penduduknya tidak mahu berpindah bagi memberi laluan kepada projek pembangunan dilakukan di situ.

Samy Vellu turut dilaporkan memberitahu pemberita sebelum merasmikan Mesyuarat Perwakilan MIC Pulau Pinang Ke-63 di Butterworth, bahawa MIC sanggup membayar sejumah premium yang sama dibayar Koperasi Pegawai Kerajaan Pulau Pinang kepada kerajaan negeri sebelum ini iaitu sebanyak RM3.2 juta bagi memiliki tanah tersebut, sekiranya jumlah itu diperlukan bagi menyelesaikan isu tersebut.

Lim turut melahirkan rasa terkejut apabila perbualan telefonnya dengan Samy Vellu mengenai isu Kampung Buah Pala sebelum merasmikan mesyuarat perwakilan itu, dijadikan bahan untuk Samy Vellu bercakap kepada perwakilan di konvensyen tersebut. BERNAMA

Artikel Lain