suria

Kualiti udara seluruh negara sedikit merosot

KUALA LUMPUR: Kualiti udara merosot sedikit di kebanyakan kawasan di seluruh negara dengan bilangan kawasan yang merekodkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) baik menurun berbanding petang semalam.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) menerusi laman webnya memaklumkan bahawa sehingga pukul 11 pagi ini, 45 peratus atau 22 kawasan di seluruh negara mencatatkan IPU baik manakala 54 peratus atau 26 kawasan lagi mencatat indeks kualiti udara sederhana. Semalam catatan IPU menunjukkan 24 kawasan (48 peratus) mencatatkan udara baik manakala 26 kawasan lagi (52 peratus) mencatat indeks udara sederhana.

Kawasan yang merekod catatan IPU baik hari ini termasuk Langkawi, Kedah (33), Indera Mahkota, Kuantan, Pahang (30), Kota Kinabalu, Sabah (32), Kuching, Sarawak (24) dan Paka, Terengganu (34).

Antara kawasan yang masih di peringkat kualiti udara sederhana ialah Muar, Johor (70), Alor Setar, Kedah (62), Bukit Rambai, Melaka (63) dan Port Dickson, Negeri Sembilan (60).

Di Selangor pula, dua kawasan menunjukkan kualiti udara sederhana iaitu di Pelabuhan Klang (61) dan Kuala Selangor (68) manakala Cheras, Kuala Lumpur mencatat bacaan indeks 58.

Klasifikasi bacaan IPU ialah seperti berikut: 0-50 (baik), 51-100 (sederhana), 101-200 (tidak sihat), 201-300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya). BERNAMA

Artikel Lain