suria

Jawatan Ketua Pemuda MIC bakal saksi saingan 2 penjuru

KUALA LUMPUR: Pertandingan jawatan Ketua Pemuda MIC dijangka menyaksikan saingan terbuka - dua penjuru - bulan depan dengan Penyelarasnya, T. Mohan mengumumkan akan merebut kerusi tersebut.

Dua minggu lalu seorang peguam, S.P. Muthu Veloo, anak saudara Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu, mengumumkan hasrat untuk bertanding jawatan itu.

Ini kali pertama jawatan Ketua Pemuda MIC bakal menyaksikan persaingan sejak pemilihan diperkenalkan tahun 2006.

Pemilihan Pemuda MIC kali ini berlangsung 16 Ogos manakala hari penamaan calon ialah 8 Ogos.

Pada 2006 jawatan itu dimenangi oleh bekas Ahli Parlimen Kota Raja, S.A. Vigneswaran yang keluar parti tersebut tahun lalu.

Mohan dipilih sebagai Penyelaras Pemuda MIC Jun tahun lalu.

"Saya mengambil keputusan ini setelah mendapat sokongan yang amat menggalakkan bukan sahaja daripada Pemuda MIC di seluruh negara, malah mendapat sokongan moral daripada masyarakat India.

"Penglibatan saya dalam MIC beserta dengan pencapaian saya setakat ini dan juga visi saya bagi Pemuda dan masyarakat India adalah disertakan bersama dalam biodata yang telah diedarkan," kata Mohan pada sidang media di sini.

Katanya, pengalaman beliau selama setahun lalu selaku ketua Pemuda MIC menjadikannya lebih tabah dan berdaya saing serta mampu membawa pergerakan tersebut ke arah lebih dinamik.

"Saya percaya dan amat berharap bahawa pertandingan bagi jawatan Ketua Pemuda dan jawatan-jawatan lain dalam Pergerakan Pemuda MIC akan berjalan dalam suasana yang baik dan memohon kerjasama daripada semua pemuda supaya menjalankan kempen mereka dalam suasana sihat," katanya.

Ketika ditanya mengenai anak saudara Samy Vellu juga mahu bertanding dan seolah-olah telah menerima restu Presiden, Mohan berkata, "hari ini bersama saya ada anak Samy Vellu (Vell Paari) sendiri."

Bagaimanapun Mohan mengakui telah memaklumkan hasrat untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda kepada Samy Vellu minggu lalu.

"Ya (saya sudah maklumkan)... beliau berkata kamu ada hak untuk bertanding," kata beliau sambil menambah akan meletakkan barisannya untuk merebut jawatan-jawatan dalam pergerakan itu iaitu Timbalan Ketua Pemuda dan anggota majlis.

Anak Samy Vellu, S. Vell Paari yang juga Penasihat Pemuda MIC kebangsaan turut hadir pada sidang media ini.

"Kehadiran saya dengan sendiri menunjukkan sokongan saya kepada Mohan," kata Vell Paari.

Artikel Lain