suria

Gara-gara tidak puas hati, lelaki ditikam rakannya

KUALA TERENGGANU: Akibat tidak berpuas hati dalam satu pertandingan bola sepak, seorang lelaki cedera di bahagian belakang badannya setelah ditikam rakannya di Kampung Tok Jiring, di sini.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Zamri Samsuddin berkata kejadian itu berlaku kira-kira pukul 5.30 petang dua hari lepas ketika mangsa sedang minum di sebuah warung di kampung berkenaan.

Berikutan kejadian itu, katanya mangsa yang berusia 44 tahun dan bekerja sebagai buruh dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan menerima empat jahitan akibat tikaman sepanjang satu inci itu.

"Suspek yang tidak berpuas hati dalam satu pertandingan bola sepak yang difahamkan sehari sebelum kejadian, datang menemui mangsa sehingga tercetusnya pertengkaran di antara mereka di warung tersebut.

"Suspek secara tibatiba mengeluarkan pisau lalu menikam belakang mangsa sebelum melarikan diri," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata mangsa yang tinggal di Kampung Banggol membuat laporan di Balai Polis Batu Rakit kira-kira pukul 7 malam semalam dan suspek dari Kampung Tok Jiring berjaya ditahan berhampiran rumahnya sejam kemudian. BERNAMA

Artikel Lain