suria

Usah bina rumah ibadat sembarangan, nasihat Murugiah

TAIPING: Masyarakat Malaysia hari ini diingatkan supaya tidak membina rumah ibadat secara haram dan sembarangan memandangkan tindakan itu akan membawa kepada ketegangan yang tidak perlu apabila struktur seperti itu dirobohkan oleh pihak berkuasa.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk T. Murugiah berkata mereka yang berhasrat membina struktur sedemikian perlu terlebih dahulu mendapatkan kelulusan pihak berkuasa.

Sungguhpun Malaysia membenarkan rakyatnya bebas mengamalkan agama yang mereka anuti, namun itu tidak bermakna mereka boleh bertindak sesuka hati dan membina rumah ibadat di mana sahaja mereka mahu, katanya.

Beliau bercakap kepada kira-kira 2,000 pengibadat di Kuil Sri Mariaman di sini dalam upacara sembahyang khas untuk keamanan sempena hari jadi ke-56 Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Murugiah berkata kerajaan amat peka kepada keperluan rakyatnya dan akan membantu pengibadat yang memerlukan rumah ibadat sewajarnya.

Beliau turut menasihati ahli politik supaya tidak mengeksploitasi pengibadat yang tidak bersalah dan menggalakkan mereka membina struktur haram sama ada di tanah persendirian atau milik kerajaan. BERNAMA

Artikel Lain