suria

Nik Aziz sedia lupakan sengketa politik dengan kerajaan pusat

KOTA BAHARU: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sedia menghulurkan tangan untuk berbaik-baik dan melupakan sengketa politik kerajaan negeri di bawah PAS dengan kerajaan pusat dalam usaha menjaga kepentingan rakyat dan perpaduan Islam.

Menurut beliau, sebelum ini kerajaan negeri tidak pernah pun menganggap kerajaan pusat sebagai musuh, tetapi hanya sebagai lawan dalam mempertahankan perjuangan ideologi politik masing-masing.

Sehubungan itu, beliau menyambut baik usaha kerajaan pusat yang akan mengadakan usahasama untuk menganjurkan Kelantan Fiesta 2009 di Kuala Lumpur tidak lama lagi.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan dan Nik Aziz turut hadir pada majlis prapelancaran program itu di Kuala Lumpur semalam.

Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS mengucapkan terima kasih kepada kerajaan pusat kerana sudi menganjurkan program bersama ke arah menarik pelancong ke negeri pantai timur itu.

Program anjuran Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) dan Redcarpet Worldwide Sdn Bhd itu dijadual berlangsung pada 28 hingga 31 Oktober ini di Padang Perdana dan pekarangan Stadium Sultan Mohamad keIV di sini.

Memberitahu pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Ke-38 Kesatuan Penolong Pegawai Tanah Semenanjung Malaysia di sini hari ini, Nik Aziz berkata, perselisihan pendapat yang timbul di kalangan pemimpin politik terutama antara Umno dan PAS sewaktu kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Manik Urai baru-baru ini perlu dilupakan dan kedua-dua pihak kembali semula kepada semangat persaudaraan sesama Islam.

"Seperti mana biasa, pertembungan pendapat dan idelogi timbul pada saat-saat menjelang pilihan raya," katanya.

PAS menang tipis pada pilihan raya itu dengan majoriti 65 undi. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain