suria

Kediaman Pengerusi Gerak dipecah masuk

KUALA LUMPUR: Kediaman milik Pengerusi Gerakan Rakyat Anti Korupsi (GERAK), Mohd Nazree Mohd Yunos di Jalan SM11, Taman Sunway Batu Caves di sini, dipecah masuk petang semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Abdul Rahim Abdullah ketika dihubungi Bernama mengesahkan polis menerima laporan tersebut. Beliau berkata kejadian itu disedari pemiliknya kira-kira 3 petang selepas pulang dari menunaikan sembahyang Jumaat di kawasan berhampiran.

"Pemeriksaan polis di rumah mangsa mendapati mangga di pintu utama kediamannya diumpil dan dipecahkan oleh suspek dipercayai untuk masuk ke dalam rumah," katanya.

Beliau berkata mangsa memaklumkan hanya komputer riba miliknya yang hilang dan masih belum dapat memastikan sama ada terdapat barangan lain atau wang tunai yang hilang.

Menurutnya, mangsa sudah membuat laporan polis pada pukul 5 petang semalam dan polis sudah merakamkan percakapannya bagi membantu siasatan.

"Polis masih belum dapat memberikan anggaran kerugian kerana siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti motif rompakan termasuk mengesan suspek yang terlibat dalam kejadian itu," katanya.

Abdul Rahim berkata polis percaya kes pecah masuk itu tiada kaitan dengan kes khianat tetapi merupakan kes pecah masuk rumah di siang hari.

Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun keseksaan atas kesalahan pecah rumah dan curi. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain