suria

H1N1: 43 kes baru dicatatkan, semua jangkitan tempatan

PETALING JAYA: Peningkatan kes jangkitan tempatan influenza A (H1N1) kini membimbangkan dan sekiranya trend ini berlarutan, negara dikhuatiri akan berdepan dengan penularan virus dalam komuniti, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Senario penyebaran penyakit ini berubah sejak dua bulan lepas apabila kes pertama jangkitan tempatan dilaporkan pada 17 Jun lepas, penularan dan peningkatannya berlaku secara berterusan, katanya.

"Sekiranya peningkatan ini tidak dibendung, rakyat mungkin terdedah kepada keadaan lebih buruk kerana kes jangkitan dalam komuniti sukar dibendung berbanding kes kluster yang berlaku ketika ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Bersama Mencegah Influenza A (H1N1) di Puchong dekat sini hari ini.

Liow berkata jumlah terkumpul kes H1N1 di seluruh negara setakat hari ini adalah 1,021 kes dengan 573 (56 peratus) kes import dan 448 (44 peratus) kes jangkitan tempatan.

"Sebanyak 43 kes baru dilaporkan hari ini dan kesemuanya merupakan kes jangkitan tempatan. Daripada jumlah itu 36 kes adalah daripada enam kluster baru, empat kes daripada tiga kluster sedia ada manakala bakinya adalah keskes sporadik atau kes terpencil," katanya.

"Bilangan kes tempatan telah meningkat dengan mendadak dan Kementerian menjangkakan trend ini akan berterusan. Sekiranya berlaku, kemungkinan bilangan kes tempatan akan melebihi kes import. Keadaan ini tidak baik untuk negara," katanya. Dalam menangani penularan H1N1 dalam komuniti, Liow berkata kementerian memperuntukan sejumlah wang yang banyak bagi meningkatkan kempen kesedaran melalui media, mengadakan forum serta mempertingkatkan aktivitiaktiviti mencegah di peringkat akar umbi.

Antara kempen dan langkahlangkah pencegahan yang diketengahkan dalam kempen tersebut adalah mengenai tujuh langkah yang betul untuk membasuh tangan serta beberapa langkah pencegahan lain seperti memakai penutup mulut dan hidung dan menutup mulut dengan tisu bila batuk dan bersin.

Liow berkata orang ramai perlu mengamalkan langkahlangkah tersebut dan menerapkannya dalam kehidupan seharian kerana ia membantu mengurangkan jangkitan kuman dan virus ke tahap minimum.

Sementara itu, 36 kes tempatan daripada enam kejadian kluster baru influenzalike illness (ILI) menyebabkan dua buah sekolah dan sebuah pusat latihan ditutup manakala 347 daripada 2,854 pelajar dari tiga buah sekolah di Sarawak dikuarantin di asrama sekolah masing-masing.

Dua buah sekolah yang diarahkan tutup ialah Maktab Rendah Sains Mara Merbok, Kedah; dan Sekolah Menengah Teknik Kajang, Selangor. Manakala pusat latihan yang ditutup ialah Pusat Latihan KEDA (Pustika), Sik, Kedah. Sekolah dan pusat latihan itu ditutup bermula 23 Julai lalu sehingga hujung bulan ini.

Manakala tiga buah sekolah yang pelajarnya dikuarantin di Sarawak ialah Sekolah Menengah Agama Matang 2, Sekolah Menengah Medamit, Limbang; dan Sekolah Menengah Kebangsaan Beluru, Bakong, Miri.

Kesemua pelajar yang mempunyai gejala ILI dikuarantin di asrama sekolah masingmasing bagi membendung penularan Influenza A H1N1. Kempen hari ini bertemakan 1MalaysiaKesihatan Diutamakan, Kebersihan Diamalkan itu dianjurkan oleh Syarikat Unilever (M) Holdings Sdn Bhd bersama Guardian dengan kerjasama pusat belibelah IOI Mall. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain