suria

Sistem AP mungkin tidak akan kekal, kata Muhyiddin

JOHOR BAHARU: Sistem Permit Import (AP) yang dilaksanakan sekarang bagi merealisasikan objektif Dasar Automotif Nasional yang menggalakkan penyertaan Bumiputera dalam sektor automotif tempatan mungkin tidak akan kekal selamanya, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata ini kerana amalan itu dianggap tidak konsisten dengan peraturan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) kerana merupakan satu bentuk sekatan terhadap perdagangan antarabangsa.

"Di bawah komitmen WTO, negaranegara anggota termasuk Malaysia, harus menamatkan sekatansekatan perdagangan, termasuk AP, untuk memastikan sistem perdagangan di peringkat global adalah liberal dan terbuka," katanya.

Sistem yang lebih liberal dan terbuka ini telah menguntungkan negaranegara berorientasi eksport, termasuk Malaysia, untuk memperoleh manfaat daripada pasaran terbuka, katanya semasa merasmikan bangunan Mutiara Motors 3S, Karnival Automotif dan pelancaran produk automotif M7 keluaran Kumpulan Mutiara Motors Sdn Bhd.

Muhyiddin berkata di peringkat tempatan pula, rasional sistem tersebut sering dipersoal oleh syarikat pengeluar dan pemasang kenderaan kerana dikatakan menyekat dan tidak menyumbang kepada pembangunan industri automotif negara.

Katanya audit yang dilaksanakan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri pula mendapati masih terdapat syarikatsyarikat pemegang AP Terbuka tidak mematuhi garis panduan pentadbiran AP Terbuka.

Kerajaan, kata Muhyiddin memandang serius terhadap ketidakpatuhan itu kerana ia boleh menjejaskan usaha untuk memastikan penyertaan berterusan Bumiputera dalam industri automotif terutamanya dalam pengedaran kenderaan.

Timbalan Perdana Menteri turut mengingatkan bahawa industri berkaitan automotif tidak boleh sematamata bergantung kepada bantuan kerajaan untuk tempoh yang terlalu lama.

Katanya usahawan industri automotif wajar bersedia dan mengambil langkah proaktif melalui aktiviti kepelbagaian perniagaan dan memanfaatkan kemudahan serta insentif yang disediakan oleh kerajaan dalam usaha meningkat keupayaan dan daya saing syarikat.

Muhyiddin juga berkata jualan kenderaan bermotor bagi tahun ini dijangka mengalami penurunan sebanyak 12.4 peratus, iaitu dalam lingkungan 480,000 unit.

Bagaimanapun, katanya penurunan itu tidak ketara berbanding negara lain di rantau ini, memandangkan industri automotif negara lebih tertumpu kepada pasaran domestik.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Mutiara Motors Sdn Bhd Datuk Ahmad Kemin berkata pusat pameran Mutiara Motors dibina dengan kos hampir RM30 juta.

Ia menyediakan perkhidmatan 3S, iaitu penjualan kenderaan import yang diuruskan sendiri, jualan alatalat ganti kenderaan prestasi tinggi jenama "M7" yang dikendalikan oleh Mutiara Motors Performance Products Sdn Bhd dan Pusat Servis khususnya untuk kenderaan import yang diuruskan oleh syarikat terbarunya, M7 Motorsports Sdn. Bhd.

Produk automotif jenama "M7" yang bermutu tinggi dan mesra alam yang antara lainnya terdiri daripada minyak pelincir, palam pencucuh, penapis udara kini berjaya menembusi pasaran antarabangsa hasil tajaan syarikat itu untuk pasukan kereta lumba Jepun Super GT300 "M7 Mutiara Motors Amemiya Racing Team". BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain