suria

Pemuda kena bijak pilih pemimpin masa depan, kata Razali

ALOR SETAR: Semua lapisan rakyat khususnya golongan muda, harus bijak memilih pemimpin mulai sekarang, demi melihat perpaduan dan kesejahteraan rakyat pada masa depan terpelihara.

Naib Ketua Pemuda Umno, yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim berkata, jika pemilihan pemimpin dibuat secara membuta tuli ia dikhuatiri akan membinasakan negara.

Beliau berkata pemimpin yang tidak bertanggungjawab akan memberi kesan kepada program pembangunan negara, sekaligus menyebabkan rakyat teraniaya.

Katanya, terdapat tiga jenis pemimpin iaitu kelas pertama, pemimpin yang tahu dan bijak menyelesaikan masalah rakyat, kelas kedua, suka menimbulkan isu, namun pada masa yang sama menyelesaikannya dan kelas ketiga, tidak boleh diharap dan tidak menghiraukan kepentingan rakyat.

"Mereka ini hanya tahu mencari kesalahan orang dan tidak bekerja untuk rakyat, jadi pemimpin berkenaan tidak sesuai dipilih untuk pembinaan sesebuah negara," katanya pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Pemuda Bahagian Alor Setar, di sini malam tadi.

Razali turut mengingatkan golongan muda supaya jangan mudah terpengaruh serta terpedaya dengan dakyah pihak tertentu yang boleh mengundang ancaman kepada kestabilan dan kemakmuran negara. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain