suria

KDN rampas VCD cetak rompak dan lucah bernilai RM35,000

IPOH: Bahagian Kawalan Filem Kementerian Dalam Negeri (KDN) Perak merampas lebih 12,000 keping DVD dan VCD cetak rompak dalam dan luar negara bernilai lebih RM35,000 dalam serbuah di Pekan Tanjung Malim, kira-kira 100 kilometer dari sini semalam.

Dalam serbuan itu, tiga lelaki turut ditahan.

Penolong Pegawai Penguatkuasa bahagian itu, Muhamad Khuzuan Fauzi berkata, sepasukan petugas yang diketuai beliau menyerbu rumah terbabit susulan serbuan pertama di sebuah premis, 5 kilometer dari rumah berkenaan kirakira jam 2.30 petang.

"Hasil risikan selama dua minggu dan maklumat orang awam, pihak kami menyerbu sebuah premis di Pekan Tanjung Malim kirakira jam 2.30 petang dan menahan seorang lelaki berusia 31 tahun dipercayai penjaga premis berkenaan.

"Bagaimanapun pemeriksaan terhadap premis terbabit mendapati hanya terdapat sejumlah kecil DVD dan VCD cetak rompak, manakala selebihnya adalah kotak 'display' yang menayangkan gambar pelbagai jenis tajuk filem terkini dalam dan luar negara," katanya pada sidang media di sini hari ini. Beliau berkata, dalam serbuan kedua di rumah terbabit, pihaknya terpaksa menggunakan pemotong besi untuk memotong mangga pintu selepas penghuni rumah enggan memberikan kerjasama.

"Hasil serbuan yang dilakukan dengan kerjasama tujuh anggota polis dari Balai Polis Tanjung Malim itu, pihak kami menemui lebih 12,000 keping DVD dan video cakera padat (VCD) cetak rompak berbagai tajuk filem terkini dalam dan luar negara termasuk lucah tanpa perakuan Sijil B.

"Pihak kami turut merampas satu unit televisyen, dua unit pemain DVD, satu mesin pencetak, satu set mesin penyalin mengandungi tujuh slot salinan dan satu pembesar suara," katanya.

Beliau berkata, siasatan akan dilakukan di bawah Akta Penapisan Filem 2002 Seksyen 5 (1) untuk DVD dan VCD lucah dan Seksyen 6 untuk cetak rompak atau tanpa perakuan Sijil B.

Ketigatiga lelaki terbabit dibawa ke Ibu Pejabat KDN Perak di sini untuk disoal siasat sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain