suria

Tiga lelaki dituduh edar dadah terlepas tali gantung

KUALA LUMPUR: Tiga lelaki hari ini terlepas daripada hukuman gantung setelah Mahkamah Tinggi di sini membebaskan mereka daripada tuduhan mengedar 2.8kg dadah lima tahun lalu.

Hakim Lim Yee Lan membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pendakwaan, gagal membuktikan kes prima facie terhadap pencuci kereta, C.Anbuchelvan, 33, pekerja kedai makan, S.Sangker, 29, dan penyenggara pendingin hawa, M.Alagendran, 25.

Dalam penghakimannya, Lim berkata terdapat keraguan yang ketara mengenai jumlah berat dadah yang dirampas dari tempat kejadian, iaitu sebanyak 2,804gram, yang berbeza dengan berat dadah yang dianalisis di Jabatan Kimia iaitu sebanyak 2,813 gram.

Hakim itu juga mempertikaikan ketiadaan tanda yang jelas dan teratur pada bungkusan dadah yang dirampas pada hari kejadian, selain mempersoalkan mengapa seorang lagi suspek, K.Partiban, yang berada di tempat kejadian dan berbual dengan tertuduh pertama dan ketiga, dilepaskan.

"Dia adalah saksi yang penting kerana dapat memberitahu mahkamah sama ada terdapatanya rancangan untuk mengedar dadah tersebut," kata Lim.

Pada 12 Mac 2004, Anbuchelvan, Sangker dan Alagendran mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan mengedar 2,813 gram kanabis di Bandar Baru Sentul, pada 9 malam 2 Mac 2004. Seramai sembilan saksi telah dipanggil memberikan keterangan.

Pendakwaan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fuad Othman. Anbuchelvan diwakili peguam V.Jayamurugan, manakala Sangker dan Alagendran diwakili Rajpal Singh. BERNAMA

Artikel Lain