suria

Tiada sebab semak tarif sekarang, kata TNB

KUALA LUMPUR: Tidak akan ada semakan tarif elektrik sekarang, kata presiden dan ketua pegawai eksekutif Tenaga Nasional Bhd (TNB), Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh.

"Kami tidak dengar sebarang semakan harga gas oleh kerajaan. Bagi Tenaga, selagi pembekal gas (Petronas) tidak menyemak harga gas, tiada sebab tarif elektrik perlu disemak.

"Oleh sebab kerajaan kata tiada kenaikan tarif, tiadalah kenaikan tarif," katanya kepada pemberita apabila ditanya tentang kemungkinan tarif elektrik disemak memandangkan kenaikan harga gas.

Dilaporkan bahawa semakan kadar akan dibincangkan pada mesyuarat kabinet semalam, dan jika diluluskan, akan berkuatkuasa bulan hadapan.

Selepas mesyuarat itu semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata tiada keputusan dibuat dan semuanya masih sama.

Semalam, TNB mengumumkan keputusan suku ketiganya yang menyaksikan kumpulan itu mencapai keuntungan bersih sebanyak RM1.023 bilion hasil daripada pendapatan sebanyak RM7.001 bilion.

Kali terakhir pelarasan tarif dibuat ialah pada 1 Mac, tahun ini. BERNAMA

Artikel Lain