suria

Sahabat baik Teoh dipanggil beri keterangan

SHAH ALAM: Seorang sahabat baik mendiang Teoh Beng Hock adalah antara lapan lagi saksi yang dipanggil memberi keterangan hari ini bagi membantu siasatan berhubung kematian Setiausaha Politik Exco kerajaan Selangor itu yang ditemui mati di tingkat lima, bangunan Plaza Masalam di sini, Khamis lepas.

Keterangan lapan saksi yang ditemani dua peguam mereka, Lim Lip Eng dan V. Ganabatirau direkodkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seksyen 11 di sini, bermula pukul 11 pagi.

Mereka ialah Woo Chuan Sing, 30, pemilik sebuah kedai telekomunikasi yang merupakan sahabat baik Teoh ketika menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), anggota Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Chan Su Sann, tiga anggota Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) Chong Hoon Ming, Tai Cheng Heng dan Pooi Weng Keong, Anggota Majlis Perbandaran Kajang Lee Kee Hiong dan dua anggota DAP yang tidak dikenali.

Kesemua mereka adalah antara orang terakhir yang dihubungi atau menghubungi Teoh sama ada melalui panggilan telefon atau khidmat pesanan ringkas (SMs) dalam tempoh 24 jam sebelum mayat Teoh ditemui pada pukul 1.30 tengah hari, selepas 10 jam disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan penyalahgunaan wang peruntukan kerajaan negeri.

Majikan Teoh, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Kampung Baru dan Penyelarasan Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan adalah antara beberapa wakil rakyat Selangor yang disiasat SPRM berhubung dakwaan itu.

Woo ketika ditemui pemberita di luar IPD Seksyen 11 berkata, Teoh ada menghubungi beliau kira-kira pukul 7.29 pagi, 15 Julai lepas untuk meminta beliau menjadi pengapitnya pada majlis perkahwinannya nanti.

"Kami berbual kira-kira dua minit. Sebelum Teoh hubungi saya dia ada menghantar SMS kepada saya bertanyakan perkara yang sama tetapi apabila saya tidak balas SMS, mendiang hubungi saya. Jadi pada saya tidak mungkin Teoh mempunyai niat untuk membunuh diri kerana dia hubungi saya meminta untuk jadi pengapitnya," katanya.

Ditanya sama ada Teoh pernah memberitahunya bahawa beliau menghadapi masalah, Woo berkata sepanjang pengetahuannya Teoh tidak mempunyai masalah.

"Tetapi mendiang pernah memberitahu saya bekerja sebagai setiausaha politik mencabar. Saya terperanjat bila mendapat tahu mengenai kematian Teoh daripada rakan saya," katanya yang mengambil jurusan Sarjana Muda Statistik semasa menuntut di UKM. BERNAMA

Artikel Lain