suria

Remaja bunuh anak guru tuisyen kekal dipenjara

PUTRAJAYA: Seorang remaja yang disabitkan kesalahan membunuh anak perempuan guru tuisyennya pada 2002 akan kekal dipenjara selama diperkenan Yang di-Pertuan Agong selepas kehabisan semua ruang yang ada untuk mengisytiharkan bahawa hukuman itu, mengikut Akta Kanak-kanak, melanggar perlembagaan.

Remaja lelaki itu, kini berumur 20 tahun, memohon Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang memerintahkan pembebasannya pada 25 Julai, 2007, selepas mengisytiharkan Seksyen 97 (2) akta itu, yang memperuntukkan kuasa untuk menahan pesalah bawah umur yang disabitkan kesalahan membunuh selama diperkenan Yang di-Pertuan Agong, melanggar perlembagaan.

Mahkamah Persekutuan hari ini mendengar permohonan remaja lelaki itu bagi semakan terhadap keputusannya pada 23 Okt, 2007, yang membatalkan perintah Mahkamah Rayuan.

Hakim Besar Malaya Tan Sri Arifin Zakaria dan dua Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri S.Augustine Paul dan Datuk Wira Mohd Ghazali Mohd Yusoff sebulat suara memutuskan kes itu bukan kes yang luarbiasa sehingga memerlukan mahkamah tertinggi itu melaksanakan bidang kuasanya untuk menyemak keputusannya yang terdahulu mengikut Peraturan 137, Peraturan-peraturan Mahkamah Persekutuan 1995.

Hakim Arifin berkata hujahan yang dikemukakan peguam yang mewakili remaja itu, Karpal Singh, mengenai doktrin pemisahan kuasa telahpun dibangkitkan dan dipertimbangkan oleh panel Mahkamah Persekutuan sebelum ini.

Pada 2003, Mahkamah Tinggi memerintahkan remaja lelaki itu ditahan selama perkenan Yang diPertuan Agong selepas mensabitkannya dengan kesalahan membunuh dengan menikam sebanyak 24 kali anak perempuan guru tuisyennya yang berumur 11 tahun di rumah gurunya itu di Taman Sri Rampai di Wangsa Maju antara 3.30 petang dan 4.30 petang pada 30 Mei, 2002.

Remaja itu berumur 12 tahun semasa dia melakukan kesalahan itu. Kes itu menjadi tumpuan pada 2007 apabila Hakim Mahkamah Rayuan pada ketika itu, Datuk Gopal Sri Ram (kini hakim Mahkamah Persekutuan), dalam keputusan penting, memutuskan Seksyen 92 (2) Akta Kanak-kanak melanggar perlembagaan kerana ia memberi kuasa eksekutif untuk menjatuhkan hukuman terhadap kanak-kanak yang melakukan pembunuhan.

Beliau berkata ia melanggar doktrin pemisahan kuasa sepertimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sri Ram memutuskan mahkamah-mahkamah mesti mempunyai kuasa eksklusif untuk mendapati seseorang itu bersalah membunuh dan kemudian mengenakan hukuman, dan ia tidak boleh sembarangan mensabitkan seseorang tetapi menyerahkan tanggungjawab melaksanakan hukuman kepada Yang diPertuan Agong, sultan atau gabenor yang bertindak atas nasihat eksekutif.

Sri Ram mengekalkan sabitan itu, menyatakan terdapat "banyak" keterangan terhadap budak lelaki itu tetapi membebaskannya selepas memutuskan tidak terdapat undan-gundang yang memperuntukkan hukuman kepada kanakkanak yang disabitkan kesalahan membunuh.

Dalam hujahannya hari ini, Karpal Singh berkata Mahkamah Persekutuan patut melaksanakan bidang kuasanya untuk menyemak kes itu kerana terdapat perbezaan pendapat di pihak kerajaan dan badan kehakiman mengenai doktrin pemisahan kuasa.

Katanya Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa doktrin pemisahan kuasa bukan merupakan satu ketetapan dalam perlembagaan negara.

Bagaimanapun, katanya Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata di Dewan Rakyat pada 23 Jun bahawa eksekutif berpandangan bahawa doktrin pemisahan wujud dalam negara ini.

"Tidak kah ini menjadikannya satu kes yang luarbiasa bagi Mahkamah Persekutuan untuk membuat semakan? Mahkamah Persekutuan sepatutnya bersedia untuk berbuat demikian," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Noorin Badaruddin menggesa mahkamah menolak permohonan semakan itu kerana menurutnya tidak berlaku sebarang salah arahan atau ketidakadilan dalam kes itu yang memerlukan mahkamah tertinggi itu untuk menjalankan bidang kuasanya untuk menyemak kes itu.

Katanya tidak timbul isu pelanggaran terhadap doktrin pemisahan kerana perkara itu telah diteliti oleh panel Mahkamah Persekutuan sebelum ini dan sebarang campur tangan oleh panel hari ini akan hanya melibatkan perbezaan pendapat sahaja.

Perlu ada noktah muktamad terhadap kes ini, katanya.BERNAMA

Artikel Lain