suria

Ketua Pemuda MIC antara dua belas ditahan terlibat perhimpunan haram

PULAU PINANG: Ketua Pemuda MIC T. Mohan dan sembilan lelaki ditahan polis kerana berhimpun secara haram ketika cuba menyerahkan memorandum berhubung isu Kampung Buah Pala kepada Ketua Menteri Lim Guan Eng, hari ini.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Ayub Yaakob berkata kesemua mereka berusia antara 18 dan 49 tahun itu ditahan di hadapan sebuah kuil di Jalan Dato Keramat, di sini, kira-kira pukul 10 pagi.

"Mereka bersama kirakira 50 orang berkumpul di hadapan kuil berkenaan dengan tujuan mengadakan perarakan sejauh 500 meter ke Komtar (yang menempatkan pejabat Ketua Menteri) untuk menghantar memorandum kepada Ketua Menteri," katanya pada sidang akhbar di sini.

Katanya mereka enggan bersurai selepas diarahkan polis dan ada di kalangan anggota kumpulan berkenaan terus berarak dengan membawa beberapa buah kereta lembu bagi menghalang tugas polis.

"Polis tiada pilihan selain menahan 10 lelaki berkenaan untuk menyuraikan demostrasi demi kepentingan keselamatan awam," katanya. Ayub berkata sebaik 10 lelaki itu dibawa ke Balai Polis Daerah Timur Laut di sini bagi membantu siasatan, anggota kumpulan berkenaan yang tidak berpuas hati bertindak berkumpul di hadapan balai polis.

Kumpulan berkenaan yang membawa beberapa buah kereta lembu berada di hadapan balai polis sambil melaungkan supaya rakan mereka yang ditahan dibebaskan segera dan keadaan itu telah menyebabkan kesesakan lalu lintas, katanya.

Beliau berkata kumpulan berkenaan kemudiannya beredar secara aman setelah dinasihatkan polis untuk berbuat demikian. "Polis mengambil keterangan daripada 10 lelaki yang ditahan itu bagi membantu siasatan dan kesemua mereka disiasat menurut Seksyen 27 Akta Polis kerana mengadakan perhimpunan haram," katanya.

Ayub meminta semua pihak untuk tidak mengeksploitasi isu Kampung Buah Pala dengan mengadakan perhimpunan haram seperti hari ini.

"Kita minta semua pihak hentikan perkara ini (perhimpunan haram) dan selesaikan isu berkenaan dengan cara baik dan apa yang mengecewakan ada pihak lain (bukan penduduk kampung berkenaan) cuba mengambil kesempatan," katanya.

Beliau berkata sehingga hari ini polis telah menerima sebanyak 26 laporan daripada pelbagai pihak berhubung isu Kampung Buah Pala termasuk ugutan yang diterima penduduk kampung berkenaan.

"Setakat ini tiada sesiapa yang ditahan dan siasatan lanjut berhubung laporan polis yang dibuat itu sedang dijalankan," katanya.

Ditanya persediaan polis pada hari terakhir penduduk kampung itu diarahkan berpindah pada 3 Ogos ini, Ayub berkata polis sentiasa bersedia bagaimanapun berharap tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

"Kita sentiasa bersedia dengan segala kemungkinan dan pihak media juga harus memaklumkan kepada polis jika menjalankan tugas di kampung berkenaan pada 3 Ogos ini bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini," katanya. BERNAMA

Artikel Lain