suria

Kes tuntutan nafkah anak Adun Melor ditangguh ke 19 Jan depan

KOTA BAHARU: Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini menangguhkan ke 19 Jan tahun depan perbicaraan kes tuntutan nafkah anak terhadap Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Melor Wan Ismail Wan Jusoh oleh bekas isterinya.

Hakim Nik Mohd Najib Nik Hassan membuat keputusan itu kerana peguam yang mewakili bekas isteri Wan Ismail, Siti Aishah Abdullah, Mohd Sibri Ismail tidak dapat hadir pada prosiding hari ini kerana mempunyai urusan lain.

Prosiding hari ini juga terpaksa diadakan dalam kamar hakim berikutan sistem pendingin hawa bilik mahkamah rosak.

Siti Aishah menuntut bayaran nafkah sebanyak RM1,800 sebulan bagi kebajikan dua orang anak yang berada dalam penjagaannya mengikut peruntukan yang termaktub dalam Enakmen Keluarga Islam 2002.

Dalam pernyataan tuntutannya, Siti Aishah mendakwa bekas suaminya telah mengabaikan tanggungjawab dalam pemberian nafkah kepada dua anak yang berada dalam penjagaannya, Wan Ahmad Firdaus, 4 dan Wan Nor Salwa, 3, sejak mereka bercerai pada 18 Nov tahun lepas.

Wan Ismail diwakili peguam syarie Mohd Zaki Zainal Abidin.BERNAMA

Artikel Lain