suria

Tukang kayu selamat dari hukuman gantung selepas 11 tahun dipenjara

PUTRAJAYA: Seorang lelaki rakyat Indonesia yang berada dalam penjara maut selama 11 tahun atas kesalahan mengedar dadah, menangis tersedu-sedu, selepas Mahkamah Persekutuan hari ini membebaskannya.

Agus Agil, 48, seorang tukang kayu dari Bali, meninggalkan isteri dan dua anaknya pada Mei 1998 untuk bercuti di Malaysia tetapi telah ditangkap oleh polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz Shah, pada masa itu, semasa hendak berlepas pulang ke negaranya.

Beliau mendakwa bahawa methamphetamine yang dijumpai disembunyikan di kedua-dua belah paha di dalam seluarnya, adalah untuk kegunaannya sendiri.

Tetapi hakim perbicaraan dan Mahkamah Rayuan menggunakan anggapan undang-undang mengikut Akta Dadah Berbahaya yang membuat kesimpulan bahawa seseorang itu mengedar dadah dan tidak berniat untuk kegunaan sendiri jika jumlahnya melebihi 50 gram.

Hari ini, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan Agus untuk mengetepikan hukuman mati dan sebaliknya memenjarakan Agus selama lima tahun selepas menggantikan dakwaan daripada mengedar kepada memiliki.

Bagaimanapun, Agus menjadi manusia bebas hari ini memandangkan tempoh dia dipenjarakan bermula dari tarikh dia ditangkap pada 6 Mei 1998. Dia kelihatan menangis teresak-esak sambil memeluk peguam belanya T.Vijayandran. Hakim Datuk Seri S. Augustine Paul, Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin dan Datuk Wira Mohd Ghazali Mohd Yusoff memutuskan bahawa kegagalan untuk menjalankan analisis kimia ke atas Agus untuk mengesahkan sama ada dia seorang penyalahguna dadah, membawa padah kepada kes pendakwaan.

Seorang ahli patologis forensik, Dr. Om Prakash Murthy, telah memberikan keterangan dalam perbicaraan itu sebagai saksi pembela bahawa seorang penyalahguna boleh mengambil antara lima ke 15 kali methamphetamine sehari dengan memakannya, menyedut atau menghisap, yang boleh dikesan dengan menjalankan analisis kimia ke atas darah dan air kencing seseorang penyalahguna itu.

Bagaimanapun, ini tidak dijalankan ke atas Agus, sebaik dia memberitahu polis bahawa dia seorang penyalahguna.

Agus didakwa di Mahkamah Tinggi Shah Alam atas dua kesalahan masing-masing mengedar 450 gram dan 510 gram dadah itu.

Dalam pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pintu 6, Terminal 1 lapangan terbang itu antara 6.20 petang pada 16 Mei 1998 dan pertuduhan kedua di lokap Balai Polis Damansara pada 11.10 malam hari yang sama.

Di akhir kes pendakwaan, Agus diperintahkan membuat pembelaan ke atas pertuduhan pertama. Bagaimanapun, dia dihukum penjara empat tahun selepas Mahkamah Tinggi mengurangkan pertuduhan kedua kepada memiliki.

Tidak puas hati dengan pengurangan itu, pihak pendakwaan membawanya ke Mahkamah Rayuan yang kemudiannya meremit kes itu kepada Mahkamah Tinggi supaya Agus mengemukakan pembelaannya bagi pertuduhan kedua.

Pada akhir kes pembelaan, dia dilepaskan dan dibebaskan bagi pertuduhan kedua.

Agus membawa kes itu ke Mahkamah Rayuan selepas dia didapati bersalah pada 9 Dis 2005 bagi pertuduhan pertama dan dihukum gantung. Dia kemudian membawa kes itu ke Mahkamah Persekutuan selepas rayuannya gagal.BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain