suria

Tan Boon Wah saman SPRM, dakwa penahanannya salah

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Perbandaran Kajang, Tan Boon Wah hari ini menyaman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana mendakwa beliau ditahan dan disoal siasat secara salah, minggu lalu.

Tan, 39, memfailkan saman itu melalui Tetuan Karpal Singh & Co di pejabat pendaftaran Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) di sini, pada pukul 12.30 tengahari.

Dalam saman itu, Tan, sebagai plaintif, menamakan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Ahmad Said Hamdan, Penolong Penguasa SPRM, Mohammad Hassan Zulkifli dan SPRM sebagai ketiga-tiga defendan.

Dalam afidavit sokongannya, plaintif mendakwa pada 15 Julai lalu, beliau telah dibawa keluar dari rumah oleh pegawai-pegawai defendan ketiga ke ibu pejabat SPRM di Shah Alam untuk disoal siasat pada pukul 8.30 malam.

"Saya hanya dilepaskan pada jam 1.35 tengah hari pada hari berikutnya iaitu pada 16 Julai. Ini adalah selepas saya diserahkan suatu perintah untuk disoal siasat sebagai saksi pada 20 Julai, jam 10 pagi," kata plaintif dalam afidavit itu.

"Saya telah ditahan tanpa sebarang kuasa yang sah oleh pegawai SPRM. Saya menyatakan bahawa saya tidak boleh, dari segi undang-undang, dikehendaki untuk disoal selepas waktu kerja pejabat kerajaan, iaitu antara 8.30 pagi hingga 5 petang setiap hari, seperti mana diperuntukkan Seksyen 30(1)(a) akta SPRM," kata plaintif.

Seterusnya plaintif mendakwa, tindakan itu adalah suatu pengurungan tidak sah serta penahanan salah yang menyebabkannya mengalami kerugian dan kerosakan.

Melalui saman itu, plaintif menuntut perintah perisytiharan mahkamah bahawa defendan-defendan, yang menyiasat di bawah Seksyen 30(1)(a) Akta SPRM 2009, hanya boleh merekodkan pernyataan plaintif sebagai seorang saksi dalam tempoh waktu pejabat sahaja, iaitu dari pukul 8.30 pagi sehingga 5.30 petang.

Plaintif juga menuntut perintah perisytiharan bahawa kesemua defendan telah bertindak bertentangan dengan peruntukan Seksyen 30 (3)(a) akta itu, gantirugi untuk penahanan salah, kos dan lainlain relif dari mahkamah.

Tan merupakan seorang daripada beberapa orang yang dipanggil oleh SPRM untuk memberi keterangan dalam siasatan berhubung dakwaan salah guna peruntukan kerajaan negeri Selangor.

Setiausaha politik kepada seorang anggota Exco Kerajaan Selangor, Teoh Beng Hock, yang juga dipanggil untuk disoal siasat oleh SPRM di ibu pejabat SPRM di tingkat 14 Plaza Masalam, Shah Alam, telah ditemui mati di koridor luar tingkat lima bangunan itu, 16 Julai lalu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain