suria

Polis ambil kenyataan Manoharan

SHAH ALAM: Polis telah mengambil keterangan wakil rakyat Kota Alam Shah M. Manoharan di bagunan Setiausaha Kerajaan Selangor di sini semalam bagi membantu siasatan kes kematian Teoh Beng Hock.

Manoharan yang ditemani isteri, S.Pushpaneela tiba pada kira-kira pukul 3.15 petang.

Beliau kemudian dilihat memasuki bilik mesyuarat yang terletak dalam pejabat exco kerajaan negeri Ean Yong Hian Wah, 25 minit kemudian, dan polis mengambil kenyataannya sehingga pukul 6.40 petang Manoharan disoal siasat oleh ASP Mohd Amirul Abdullah dari Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam.

Ketika ditemui pemberita selepas itu, Manoharan berkata beliau tidak berpuas hati dengan cara polis menjalankan siasatan kes kematian Teoh yang sepatutnya dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Kesekesaan iaitu membabitkan kes bunuh.

"Saya tidak puas hati dengan cara siasatan dijalankan. Saya amat kesal dengan polis kerana siasatan kematian Teoh sepatutnya dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh dan bukannya kematian mengejut," katanya.

Teoh, 30, ditemui mati pada pukul 1.30 tengah hari Khamis lepas di koridor luar tingkat lima bangunan Plaza Masalam di Shah Alam yang turut menempatkan pejabat SPRM Selangor di Tingkat 14.

Teoh, yang merupakan setiausaha politik kepada Yong, Anggota Dewan Undangan Negeri Seri Kembangan, merupakan seorang daripada saksi dalam siasatan SPRM berhubung dakwaan penyalahgunaan peruntukan negeri barubaru ini.

Manoharan berkata beliau adalah orang terakhir yang bercakap dengan Teoh ketika dia di pejabat SPRM.

"Saya menerima panggilan (telefon) daripada Teoh pada kirakira pukul 6.15 petang 15 Julai dan segera ke tingkat 14 Plaza Masalam iaitu pejabat SPRM.

"Malangnya, saya tidak dibenar menemani klien saya (Teoh) sebaik tiba di pejabat itu," katanya.

Sementara itu, Yong berkata beliau akan memberi kenyataan kepada polis esok pada kira-kira pukul 3 petang di pejabatnya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain