suria

Kumpulan sindiket menyeluk saku 'Mangkui' tumpas

KUALA LUMPUR: Sindiket menyeluk saku bergelar "Mangkui" yang aktif di sekitar bandaraya ini akhirnya ditumpaskan polis berikutan penangkapan ketua kumpulan itu dan enam anggotanya termasuk tiga wanita di Skudai, Johor, Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zulkarnain Abdul Rahman berkata kesemua anggota kumpulan warga Filipina itu diberkas di dua buah hotel berasingan di Skudai, Johor awal pagi hari berkenaan.

"Polis merampas dua jam tangan, sebuah kamera digital, satu dompet berisi wang tunai RM700, satu beg pouch dan beberapa telefon bimbit dalam serbuan di kedua-dua hotel itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Pencegahan Jenayah peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di Stesen LRT Pasar Seni di sini, hari ini.

Beliau berkata mereka dipercayai menyembunyikan diri di hotel berkenaan selepas polis menahan lima lelaki dan empat wanita anggota kumpulan itu yang berumur antara 30 dan 53 tahun pada 9 Julai lepas di sebuah kondo di Ampang, Selangor. Bernama sebelum ini melaporkan kumpulan itu bergiat aktif di perhentian bas di Lebuh Ampang, stesen LRT KLCC serta sekitar Bintang Walk dan mangsa mereka lazimnya terdiri daripada warga asing.

Zulkarnain berkata anggota sindiket itu datang ke Malaysia pada 2006 menggunakan visa lawatan sosial dan mereka dipercayai memiliki sembilan kondominium mewah di luar Kuala Lumpur.

Anggota sindiket itu biasanya akan keluar secara berkumpulan seramai lima atau enam orang, katanya.

Antara taktik yang akan digunakan mereka adalah seperti berpura-pura terjatuh duit syiling dan berpura-pura terjatuh sambil memegang kaki mangsa. Mengenai Program Pencegahan Jenayah itu, Zulkarnain berkata ia bertujuan mendedahkan orang ramai agar lebih memberi kerjasama kepada polis dalam usaha meningkatkan keberkesanan mengurangkan jenayah di bandar raya ini.

Program Pencegahan Jenayah peringkat IPD Dang Wangi itu dilancarkan dengan kerjasama Persatuan TeksiTeksi Daerah Dang Wangi, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan RapidKL.BERNAMA

Artikel Lain