suria

Ibu sebabkan kematian anak dipenjara 6 tahun 10 bulan

Nadiah, 28, dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi selepas mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam tahun 10 bulan terhadapnya di atas kematian anak lelakinya yang berusia setahun tiga bulan kira-kira empat tahun lalu. -- fotoBERNAMA
Nadiah, 28, dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi selepas mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam tahun 10 bulan terhadapnya di atas kematian anak lelakinya yang berusia setahun tiga bulan kira-kira empat tahun lalu. -- fotoBERNAMA
Nadiah, 28, dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi selepas mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam tahun 10 bulan terhadapnya di atas kematian anak lelakinya yang berusia setahun tiga bulan kira-kira empat tahun lalu. -- fotoBERNAMA

PULAU PINANG: Seorang ibu muda yang menyebabkan kematian anak lelakinya yang berusia 1 tahun tiga bulan kira-kira empat tahun lalu, dihukum penjara enam tahun 10 bulan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Hakim Datuk Abdul Rahim Uda menjatuhkan hukuman itu setelah mensabitkan pengakuan bersalah wanita itu, yang hanya dikenali sebagai Nadiah, 28, dan berasal dari Sumatera Selatan dan memerintahkannya menjalani hukuman itu dari tarikh tangkap iaitu 27 April 2005. Nadiah dituduh menyebabkan kematian anak lelakinya itu di sebuah rumah di Jalan Besar Bayan Lepas pada kira-kira 12 tengah hari, 27 April 2005 mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda.

Sebaik sahaja hakim selesai membacakan hukuman terhadapnya, Nadiah, yang berkahwin dengan lelaki tempatan, Abdul Rahman Jaafar, dilihat menangis.

Ketika membacakan penghakimannya, Hakim Abdul Rahim berkata, mahkamah berada dalam keadaan yang sukar untuk membuat keputusan berhubung kes itu setelah mengetahui tekanan hidup yang dialami tertuduh amat berat.

"Mahkamah menghadapi satu keadaan sungguh sukar. Di satu pihak, satu nyawa sudah melayang dan di satu pihak yang lain, ibu sendiri yang melakukannya.

"Mahkamah faham puan adalah orang asing yang datang ke sini mengikut suami yang pada mulanya berkata tidak ada isteri tetapi akhirnya didapati dia telah beristeri. Sememangnya tidak boleh dimaafkan apa yang dilakukan oleh puan itu dalam keadaan biasa tetapi mahkamah faham tentang rumah tangga yang bergolak, masalah kewangan dan fikiran tergganggu. Besar kemungkinan ia dilakukan atas sebab itu,"katanya.

Sementara itu peguam bela Nadiah, K.Simon Murali ketika merayu hukuman ringan berkata tertuduh yang berasal daripada keluarga miskin dan datang ke Malaysia pada 1997 ketika berusia 17 tahun untuk bekerja sebagai pembantu rumah, telah insaf dan kesal terhadap perbuatannya itu.

Katanya Nadiah dan suaminya berkahwin di Sumatera Selatan dan apabila kembali semula ke Malaysia dia baru tahu bahawa suaminya telah berkahwin dan tertuduh terpaksa tinggal serumah dengan isteri pertama dan di situlah bermula semua masalah antara dia dan suaminya.

Hasil perkahwinan itu, Nadiah memperoleh seorang anak perempuan dan dua lelaki yang berumur antara 4 tahun dan 7 tahun dan anaknya yang mati itu merupakan anak kedua.

"Anak bongsunya dilahirkan ketika tertuduh ditahan reman di Penjara Pulau Pinang dan kali terakhir dia berjumpa anak sulung dan anak bongsu serta suaminya ialah Julai 2007, suaminya telah meninggal dunia akibat penyakit barah dan sejak itu Nadiah tidak tahu di mana anak-anaknya. Dia ingin segera bersatu semula dengan anakanaknya itu," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Norina Zainol Abidin berkata kes itu patut menjadi peringatan kepada ibu bapa agar tidak menjadikan anak sebagai mangsa kepada masalah orang dewasa.

Hakim kemudiannya meminta peguam dan pendakwa raya supaya membantu mengesan kedua-dua anak Nadiah.BERNAMA

Artikel Lain