suria

Penyokong Uthayakumar mengamuk, serang pengarang Makkal Osai

PETALING JAYA: Sekumpulan 15 orang dipercayai penyokong P. Uthayakumar, pemimpin Hindraf, menyerbu pejabat akhbar Makkal Osai dan menyerang pengarang berita kerana tersinggung dengan liputan berkaitan majlis beliau semalam.

Penyokong-penyokong berkenaan bertindak demikian kerana tidak berpuas hati dengan berita muka depan akhbar berkenaan yang menyebut Uthayakumar gagal tunai janji melancarkan parti baru sebagaimana dinyatakan dua hari lalu.

Sebaliknya kata laporan itu, Uthayakumar hanya melancarkan buku tulisannya dan mengutip sumbangan dan hasil jualan daripadanya.

Semalam beliau mengumumkan sudah ambil langkah untuk menubuhkan Parti Hak Asasi Manusia.

Ketua Pengarang Makkal Osai, M. Rajan mengesahkan insiden itu.

Katanya, pengurusan akan membuat laporan polis esok.

Insiden itu berlaku ketika beliau tiada di pejabat.

Pejabat urusan akhbar itu terletak di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

Justeru kata beliau, mereka yang dilayani Pengarang Berita, B.R. Rajan telah dikasari dengan salah seorang mereka mereka menolak bahagian dadanya.

Mereka juga dikatakan membawa bersama kenyataan penjelasan yang dikatakan dikeluarkan oleh Uthayakumar.

Ketua Pengarang itu berkata, kumpulan berkenaan seharusnya memberikan peluang kepada akhbar tersebut membuat penjelasan jika dirasakan perlu.

"Kami kecewa dengan kumpulan itu yang mendakwa sebagai penyokong tidak memberikan ruang bagi membuat penjelasan. Kami bersedia untuk membuat pembetulan dan penjelasan, tetapi tidak diberikan peluang," katanya. Kata beliau, kumpulan itu mengugut akan membakar akhbar Makkal Osai jika pembetulan yang dituntut tidak dibuat esok.

Artikel Berikut

Artikel Lain