suria

Nasib Mirza ditentukan Jumaat ini

KUALA LUMPUR: Keputusan sama ada bekas Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Mirza Mohammad Taiyab akan dipanggil membela diri atau dibebaskan daripada tuduhan menerima rasuah rawatan pergigian bernilai RM13,860 akan ditentukan Jumaat ini.

Hakim Mahkamah Sesyen, Zainal Abidin Kamarudin membuat keputusan itu hari ini selepas selesai mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak pembelaan dan pendakwaan, di akhir kes pendakwaan.

Mirza, 51, dituduh bersetuju menerima, tanpa membuat pertimbangan, rawatan pergigian bernilai RM13,860, yang dijelaskan bayarannya oleh pengarah Syarikat Perunding Pakar Media Zulhisyam Ayob, walaupun mengetahui bahawa syarikat itu mempunyai hubungan dengan fungsi rasmi beliau sebagai Ketua Pengarah Lembaga Penggalakkan Pelancongan ketika itu.

Mirza dituduh melakukan kesalahan itu di klinik pergigian Clinical Practise Prosthodontics Sdn Bhd, di Taman Tun Dr Ismail antara 17 Jan dan 26 Julai 2005.

Jika sabit kesalahan, Mirza boleh dikenakan hukuman penjara hingga tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Saseedharan Menon, peguam bela yang mewakili Mirza, sebelum itu berhujah bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan pertuduhan terhadap anak guamnya kerana gagal memanggil dua saksi penting untuk memberikan keterangan.

Saseedharan berkata saksi berkenaan adalah pengadu iaitu Zamri Zainal Abidin dan individu yang menandatangani cek bernilai RM13,860 iaitu Noranidah Omar, di mana keterangan mereka penting bagi mengetahui dengan lebih jelas sama ada tertuduh terbabit atau sebaliknya.

"Kita tidak tahu sama ada abang tertuduh (Mirza Mohammad Tariq Beg) mengetahui atau tidak cek itu diberikan kepadanya kerana tidak dijelaskan walaupun abangnya adalah seorang saksi yang menandatangani cek itu.

"Selain itu, pengadu, Zamri, juga tidak dipanggil untuk menerangkan lebih terperinci berhubung kenapa siasatan dilakukan ke atas tertuduh dan tugas beliau (Zamri) dalam penyiasatan itu," katanya.

Saseedharan berkata dalam keterangan saksi kelapan, pengurus klinik iaitu Rahayu Abdul Rahim menyatakan beliau mengalami keguguran akibat tekanan dengan pengadu yang sering memaksanya memberitahu hubungan antara bekas Pengarah Eksekutif Perunding Pakar Media Sdn Bhd (SPPMSB), Zulhisyam Ayob dengan tertuduh.

Timbalan Pendakwa Raya, Kevin Morais berhujah bahawa pengadu dalam kes berkenaan iaitu Zamri tidak perlu dipanggil bagi memberi keterangan.

Katanya Zamri tidak perlu dipanggil sebagai saksi kerana beliau (Zamri) hanya seorang pemberi maklumat dan tiada peranan bagi membuktikan atau melengkapkan perbicaraan ini.

"Jika beliau (Zamri) tidak dipanggil memberi keterangan, tidak memberi sebarang kesan langsung terhadap bukti-bukti yang sedia ada, kerana Zamri bukanlah saksi penting atau utama dalam kes ini jadi pihak pendakwaan tidak memanggilnya," jelasnya.

Pihak pendakwaan mengemukakan seramai 11 saksi dalam kes yang bermula sejak Februari lalu. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain