suria

Lima pegawai imigresen ditahan disyaki terlibat seludup manusia

KUALA LUMPUR: Lima pegawai kanan Jabatan Imigresen Johor dan empat perantara ditahan di beberapa lokasi di Johor sejak Jumaat lepas kerana dipercayai terlibat dalam sindiket penyeludupan manusia di sekitar sempadan antarabangsa negara.

Sembilan yang ditahan itu dikatakan mendapat habuan bayaran hasil khidmat "menjual" manusia, kebanyakan pelarian Rohingya termasuk wanita, untuk dijadikan buruh paksa dalam beberapa sektor pekerjaan seperti sektor perikanan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Bakri Zinin berkata polis membuat pemantauan dan risikan terhadap kegiatan individu yang berumur antara 25 hingga 40 tahun itu sejak Mac lepas.

"Mereka yang ditahan ini terlibat secara langsung dalam kes penyeludupan manusia bermula dari sempadan negara ke beberapa laluan tikus yang dipercayai menjadi laluan keluar ke sempadan antarabangsa.

"Sampai di exit point itu, mangsa akan diserah kepada kumpulan sindiket penyeludupan manusia sebelum dibawa ke negara jiran atau kembali ke Malaysia untuk bekerja secara haram sebagai buruh paksa," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Kesemua suspek ditahan reman sehingga Jumaat ini dan akan disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda, katanya.

Bakri berkata suspek dipercayai bekerjasama dengan kumpulan sindiket pemerdagangan manusia antarabangsa yang aktif beroperasi sejak tahun lepas.

Beliau berkata polis kini sedang memburu rakan subahat suspek dan anggota kumpulan sindiket itu.

Jun lepas, Amerika Syarikat memasukkan semula Malaysia dalam senarai hitam negara yang menyeludup manusia, selain enam negara Afrika iaitu Chad, Eritrea, Niger, Mauritania, Swaziland dan Zimbabwe.

Menurut laporan itu, Malaysia tidak mematuhi sepenuhnya standard minimum bagi menghapuskan penyeludupan dan tidak berusaha bersungguh-sungguh ke arah itu termasuk pegawai Imigresen tertentu mengambil bahagian dalam penyeludupan dan peras ugut pelarian Myanmar.

Sementara itu, Bakri berkata seramai 772 orang suspek membabitkan rakyat asing dan pendatang tanpa izin ditahan kerana disyaki terlibat dalam jenayah rogol sejak empat tahun lepas (2005 hingga Jun 2009).

Seramai 134 orang rakyat asing dan pendatang tanpa izin pula dikenalpasti terlibat dalam kes jenayah bunuh dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini, katanya. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain