suria

Keluarga Teoh mahu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan

ALOR GAJAH: Keluarga mendiang Teoh Beng Hock, Setiausaha Politik kepada seorang anggota Exco Kerajaan Negeri Selangor mahu supaya Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bagi menyiasat kematiannya.

Teoh, 30, ditemui mati tengah hari Khamis lepas di koridor luar tingkat lima bangunan Plaza Masalam di Shah Alam yang menempatkan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor yang menyoalsiasat beliau beberapa jam sebelum itu.

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Dr Oh Ei Sun berkata: "Ada permintaan daripada keluarga Teoh supaya menyampaikan hasrat mereka itu bagi penubuhan Suruhanjaya Diraja kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Jawapan saya ialah mereka (keluarga itu) akan mengetahui keputusannya pada mesyuarat Kabinet Rabu ini," kata Oh kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan takziah Perdana Menteri kepada keluarga Teoh di Taman Seri Kelemak di sini petang semalam.

Perdana Menteri kini berada di Arab Saudi melakukan lawatan rasmi. Oh bagaimanapun berkata beliau akan menyampaikan permintaan keluarga Teoh itu kepada Najib.

Seorang jurucakap keluarga itu berkata mendiang Teoh akan dikebumikan di Semenyih, Selangor, hari ini. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain