suria

Penubuhan suruhanjaya siasatan kematian Teoh tidak terburu-buru

KLUANG: Desakan penubuhan Suruhanjara Diraja bagi menyiasat kes kematian Setiausaha Politik Exco Kerajaan Negeri Selangor, Teoh Beng Hock tidak perlu dilakukan terburu-buru memandangkan siasatan mengenai kes itu masih di peringkat awal.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata perbincangan mengenai penubuhan itu akan dilakukan secara mendalam sebelum dilaksanakan.

"Perbincangan akan dilakukan secara mendalam, kita tidak tahu lagi keputusan, jadi kita kena bertindak rasional," katanya kepada pemberita selepas program polis kemasyarakatan, di Felda Ulu Belitong, di sini, hari ini.

Hishammuddin yang juga Anggota Parlimen Sembrong berkata, siasatan kematian itu juga akan dilakukan dengan telus.

Katanya, semua pihak dalam masa yang sama diminta supaya tidak melemparkan tuduhan yang tidak bertanggungjawab bagi tidak menimbulkan ketegangan emosi pelbagai pihak. Mayat Teoh ditemui di koridor tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor pada Khamis lepas dipercayai akibat terjatuh dari bangunan itu di mana terletaknya pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Teoh merupakan salah seorang daripada saksi dalam siasatan SPRM berhubung dakwaan penyalahgunaan peruntukan bagi exco kerajaan negeri Selangor. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain