suria

Lim mahu SPRM jalankan soal siasat di pejabat kerajaan negeri

PULAU PINANG: Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mahukan supaya para pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) datang sendiri ke pejabat kerajaan negeri sekiranya ingin menjalankan soal siasat tentang sesuatu kes yang ada kaitan dengan anggota pentadbiran negeri, bagi mengelak kejadian melibatkan Teoh Beng Hock Khamis lepas, berulang.

"Jika SPRM ingin menyiasat mana-mana anggota Exco atau pembantu peribadi mereka, mereka boleh datang ke pejabat kerajaan negeri bagi menjalankan soal siasat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan Galaxy of Engineering Stars anjuran Institut Jurutera Malaysia (IEM) di sini hari ini.

Dalam kejadian Khamis lepas Teoh, 30, pembantu khas anggota exco Selangor Ean Yong Hian, yang membantu SPRM dalam siasatan berhubung penyelewengan peruntukan negeri dijumpai mati di koridor tingkat lima bangunan Plaza Masalam.

Lim, yang juga setiausaaha agung DAP berkata beliau kecewa dengan tindakan polis yang mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut, sebelum menjalankan siasatan menyeluruh tentang kematian Teoh.

"Saya sedih kerana polis tidak menjalankan tanggungjawab mereka menahan orang terakhir yang ada bersama Teoh pada hari berkenaan iaitu pegawai penyiasat SPRM," katanya.

Lim berkata beliau bersedia mengambil tindakan undang-undang terhadap SPRM berhubung kejadian itu sekiranya keluarga Teoh bersetuju.

"Kami menuntut keadilan dan sekiranya polis gagal memenuhinya, maka Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan patut melepaskan jawatannya atau tempoh perkhidmatannya tidak dilanjutkan," kata Lim, sambil meminta polis bersikap profesional dalam menjalan tugas mereka.

Sementara itu, bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin, yang hadir sebagai penceramah pada persidangan itu berkata beliau mahukan supaya sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja dibentuk bagi menyiasat kes Teoh.

"Bukan hanya menubuhkan suruhanjaya, tapi penemuan berhubung kes itu perlu didedahkan kepada orang ramai bagi memastikan wujudnya keadilan dan kebebasan untuk semua rakyat Malaysia. Saya akan bangkitkan perkara ini di Parlimen," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain