suria

H1N1: Seorang pesakit H1N1 dirawat di ICU

KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata seorang daripada pesakit Influenza A (H1N1) kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital.

Liow ketika ditemui pemberita bagaimanapun tidak mendedahkan hospital di mana pesakit berkenaan sedang dirawat.

"Buat masa ini kebanyakannya dalam keadaan sihat dan baik kecuali seorang sahaja yang dalam ICU. Kami sedang meneliti (kes ini) dan akan memberi rawatan terbaik kepada semua pesakit H1N1," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Kesejahteraan Energy TSM Wellness Sdn Bhd di sini Sabtu.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Mohd Ismail Merican dalam kenyataan dilaporkan berkata daripada 848 kes, jumlah pesakit influenza A (H1N1) yang sembuh adalah 726 orang (86 peratus) dan enam orang (1 peratus) sedang dirawat di hospital, manakala baki 116 orang (13 peratus) menerima rawatan sebagai pesakit luar.

Liow berkata kementerian kini berusaha gigih untuk membendung gejala ini daripada terus merebak ke seluruh negara.

"Kita masih lagi berusaha gigih untuk memastikan tiada penularan dalam komuniti secara besar-besaran.

"Kita juga telah menutup Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Melaka dan kita harap dapat redakan keadaan di kawasan itu. Kita sekarang lebih menumpukan perhatian dalam membuat rawatan kepada pesakit H1N1," katanya.

Khamis lepas, UiTM Kampus Alor Gajah, Melaka ditutup selama sembilan hari berkuatkuasa serta-merta berikutan penularan wabak Influenza A (H1N1) di kampus terbabit sejak seminggu lepas.

Dalam perkembangan lain, Liow berkata pengusaha restoran dan kafeteria di negara ini digalak mempamerkan dalam menu mereka kandungan khasiat dalam masakan seperti kalori, lemak, gula dan sebagainya.

"Sekarang kita adakan kempen kesedaran cara pemakanan dan kempen ini adalah untuk sedarkan orang ramai mengenai pentingnya makanan, kuantiti makanan, kalori dalam makanan dan kualiti makanan.

"Saya percaya, orang ramai akan memilih restoran yang menawarkan makanan yang segar, bermutu dan berkualiti baik. Maka mana-mana restoran yang menawarkan makanan berminyak dan manis, tidak akan mendapat sambutan orang ramai," katanya.

Sementara itu, Liow juga mengalakkan rakyat di negara ini menjalani gaya hidup sihat dengan berjalan sebanyak 10,000 langkah sehari.

Beliau berkata dengan cara itu ia dapat mengelakkan serangan jantung, diabetis, strok selain dapat menurunkan berat badan dan kadungan kolestrol dalam badan.

"Saya harap orang ramai akan praktik berjalan 10,000 langkah sehari contohnya jika bekerja di tingkat 12, mungkin dia boleh hentikan lif di tingkat sembilan dan kemudian berjalan naik ke tingkat 12.

"Ini boleh dibuat secara harian dan bagus untuk kehidupan yang sihat. Kalau anda berasa selesa berjalan sehingga tingkat 12, anda boleh berbuat demikian," katanya.

Berjalan sehingga 10,000 langkah dalam sehari dianggarkan hampir sama dengan berjalan sejauh enam atau tujuh kilometer jika diukur dalam jarak meter atau berlangkah daripada awal pagi hingga lewat malam dalam tempoh sehari. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain