suria

Dua wanita antara 13 ditahan positif dadah di plaza tol Sg Besi

KUALA LUMPUR: Dua wanita merupakan antara 13 yang ditahan kerana positif dadah dalam operasi bersepadu membabitkan 14 agensi kerajaan di plaza tol Sungai Besi menghala ke Seremban, di sini malam semalam.

Seorang daripada wanita itu adalah di bawah umur (17 tahun) dan juga sepupu kepada wanita yang berumur 18 tahun yang ditahan kerana ujian air kencing mendapati kedua-kedua positif dadah dipercayai jenis syabu.

Operasi selama enam jam bermula kira-kira pukul 6 petang itu yang diketuai oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut disertai 13 agensi termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan, Jabatan Keselamatan Jalan Raya dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Pegawai AADK Daerah Hulu Langat Rosydan Haron berkata seramai 209 orang telah diperiksa dan menjalani ujian air kencing sepanjang operasi yang ditamatkan kira-kira pukul 12 tengah malam.

"Pemeriksaan AADK mendapati seramai 13 orang adalah positif dadah termasuk dua wanita yang berumur antara 17 hingga 52 tahun dan ke semua mereka ditahan untuk siasatan lanjut," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pengarah JPJ Selangor Yusoff Ayob berkata JPJ telah memeriksa sebanyak 314 kenderaan dan sebanyak 171 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

"Kita telah menyita tujuh motosikal dan 97 kenderaan lain diambil tindakan kerana pelbagai kesalahan.

"Antara kesalahan yang dilakukan pemandu dan penunggang motosikal ialah tidak mempunyai lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh dan cermin gelap," katanya.

Bahagian trafik Polis Diraja Malaysia pula mengeluarkan 35 saman pelbagai kesalahan termasuk cukai jalan tamat tempoh, tiada lesen memandu dan gagal melekatkan pelekat 'L' dan 'P' pada kenderaan.

Sementara itu, Jabatan Imigresen pula menahan sembilan pendatang tanpa izin (Pati) kerana tidak memiliki dokumen perjalanan diri.BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain