suria

"Saya ada harapan menang," kata Subramaniam

MELAKA: Bekas timbalan presiden MIC Datuk S. Subramaniam mengulangi pendirian tetap akan bertanding bagi jawatan nombor dua parti itu pada pemilihan parti September ini.

Katanya terpulang kepada perwakilan untuk menilai karismanya sebagai "orang lama" dalam parti bagi membuat pemilihan tepat mengisi jawatan timbalan presiden.

"Saya tetap akan bertanding jawatan timbalan presiden, saya ada harapan (untuk menang)," katanya kepada pemberita di sini petang semalam.

Terdahulu, beliau menghadiri Konvensyen ke63 MIC negeri Melaka yang dirasmikan oleh Presiden MIC Datuk S. Samy Vellu. Turut hadir ialah Pengerusi MIC Melaka Datuk S. Raghavan.

Subramaniam berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Bernama hari ini bahawa pemimpin MIC itu, Samy Vellu memberikan sokongan kepada timbalannya Datuk G. Palanivel bagi mempertahankan jawatan nombor dua parti pada pemilihan parti 12 Sept ini.

Mengenai kenyataan Samy Vellu yang memberi sokongan kepada penyandang, Subramaniam berkata: "Terpulang kepada Samy (Vellu) untuk membuat kenyataan itu, walaupun beliau (Samy Vellu) sebelum ini pernah berkata akan bersikap berkecuali dalam memberikan sokongan."

Palanivel turut mengumumkan bahawa beliau akan mempertahankan jawatannya pada perhimpunan agung parti yang dijangka dihadiri kirakira 1,400 perwakilan seluruh negara. BERNAMA

Artikel Lain