suria

Penyelia pendawaian elektrik tapak pembinaan mati dikelar

KUALA LUMPUR: Akibat perselisihan faham, seorang penyelia pendawaian elektrik di tapak pembinaan sebuah kondominium mewah di Mount Kiara di sini ditemui mati dengan kesan kelar di leher.

See Chew Hwa, 39, ditemui berlumuran darah di tingkat tiga kawasan tempat letak kereta kondominium 43 tingkat itu yang terletak di Jalan Kiara 1 di sini semalam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur ACP Khairi Anrasa berkata sebelum kejadian mangsa dan suspek dipercayai bertengkar di tingkat tersebut menyebabkan suspek seorang warga Indonesia bertindak mengelar leher mangsa.

"Kita percaya suspek masih berada di kawasan tapak pembinaan ini dan kita telah mengepung kawasan ini. Setakat ini senjata yang digunakan masih belum ditemui," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Beliau berkata seorang lelaki berusia 45 tahun telah ditahan untuk membantu siasatan.

Katanya ketika kejadian pada kira-kira 4.30 petang, terdapat kira-kira 400 pekerja di tapak itu dan suspek yang berusia lingkungan 25 tahun baru bekerja seminggu di projek tersebut.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. BERNAMA

Artikel Lain