suria

Pengarah syarikat didakwa ubah wang haram lebih RM5 juta

KUALA LUMPUR: Seorang pengarah syarikat yang sebelum ini didakwa atas tuduhan menipu dan menjalankan perkhidmatan pasaran modal tanpa lesen tahun lepas, hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen di sini terhadap tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM5,302,142.93.

Raja Noor Asma Raja Harun, 47, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.

Dia didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram membabitkan RM2 juta di dalam akaun pengasingan pelanggan milik Syarikat FX Capital Consultant (M) Sdn Bhd di RHB Investment Bank Berhad di Level 3, Tower One, RHB Centre, Jalan Tun Razak, di sini.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa atas pertuduhan yang sama melibatkan RM3,286,241, di Kenanga Deutsche Futures Sdn Bhd di Tingkat 3, Kenanga International, Jalan Sultan Ismail, di sini.

Dia juga didakwa terhadap pertuduhan yang sama melibatkan RM15,901.93, di CIMB Bank Berhad di 43, Jalan Pandan 3/3 Pandan Jaya, di sini. Ketigatiga kesalahan itu didakwa dilakukan pada 9 Mei, 2008.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang boleh didenda sehingga RM5 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau keduaduanya, jika sabit kesalahan.

Peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Raja Noor Asma, memohon kepada mahkamah agar mengguna pakai ikat jamin RM300,000 dengan dua penjamin dan syarat tambahan lain, yang dikenakan terhadap anak guamnya sebelum ini.

Ini memandangkan kesemua sumber kewangan anak guamnya itu telah dibekukan, jelas Muhammad Shafee.

Hakim Rozana Ali Yusuff membenarkan permohonan itu, dan menetapkan 20 Sept ini untuk sebutan semula dan keputusan sama ada kesemua pertuduhan itu akan dibicarakan bersama.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya G. Jaya Prem dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Pada 18 Dis lepas, di Mahkamah Sesyen 1, Raja Noor Asma didakwa atas empat tuduhan menipu dan menjalankan perkhidmatan pasaran modal membabitkan pelaburan RM100 juta tanpa lesen, dan dibenarkan ikat jamin RM300,000 dengan dua penjamin. BERNAMA

Artikel Lain