suria

Mayat pemandu teksi ditemui dengan kesan tikaman

KLANG: Seorang pemandu teksi ditemui mati dengan kesan tikaman di belakang badan, rusuk kiri dan tangan, berhampiran dengan rumahnya di Taman Sri Andalas di sini, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Klang ACP Mohamad Mat Yusop berkata polis menerima panggilan memaklumkan mengenai penemuan mayat seorang lelaki di tepi sebuah kedai di kawasan perumahan itu pada kira-kira pukul 8.40 pagi.

Beliau berkata lelaki itu dikenali sebagai Jamal Pida, 45, yang dipercayai diserang semasa tinggal seorang diri di rumahnya, dan polis percaya Jamal bergelut dengan seorang penyerang yang memang dikenalinya.

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini Mohamad berkata Jamal dan isteri bersama dua anaknya yang berumur lapan dan 10 tahun tinggal di rumah berkenaan sejak empat tahun lepas, dan semasa kejadian isteri serta anak-anaknya tiada di rumah.

Beliau berkata polis sedang memburu seorang suspek yang berasal dari Sabah bagi membantu siasatan, yang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. BERNAMA

Artikel Lain