suria

Sothinathan tetap bertanding Timbalan Presiden MIC

SEREMBAN: Naib Presiden MIC Datuk S. Sothinathan berkata beliau tetap dengan pendiriannya dan tidak akan menarik diri untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan MIC pada 12 September ini.

Katanya beliau sudah mula berkempen ke jawatan itu sebaik sahaja beliau membuat pengumuman untuk bertanding, pada 30 Mei lepas.

Sothinathan, 49, yang merupakan bekas Setiausaha Agung MIC dan bekas anggota Parlimen Teluk Kemang berkata sesiapa jua berhak untuk bertanding mana-mana jawatan pada pemilihan MIC September ini dan terpulang kepada perwakilan MIC untuk memilih calon terbaik.

"Saya yakin perwakilan MIC bijak dalam membuat pemilihan itu demi masa depan parti, masyarakat India dan negara. Saya mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk bertanding kerana itu adalah hak mereka," katanya kepada Bernama di sini pada hari Rabu.

Ditanya mengenai sokongan Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu terhadap calon-calon tertentu, beliau berkata "Saya tak kisah kerana yang penting perwakilan bijak memilih calon terbaik".

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan Bernama hari ini bahawa Samy memberikan sokongan kepada timbalannya Datuk G. Palanivel bagi mempertahankan jawatan nombor dua parti itu pada pemilihan MIC nanti.

Selain itu Samy juga menyokong Menteri Sumber Manusia dan Setiausaha Agung Parti itu Datuk Dr S. Subramaniam, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Ketua Penerangan MIC Datuk M. Saravanan serta Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk S.K.Devamany bagi ketiga-tiga jawatan Naib Presiden. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain