suria

Tumpuan kini banteras jenayah jalanan - Musa Hassan

KUALA LUMPUR: Polis akan memberi keutamaan untuk membanteras jenayah jalanan yang kini paling digeruni di kalangan masyarakat, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

"Jenayah jalan seperti ini (ragut dan samun) memberi impak besar kepada kegiatan masyarakat sehingga mereka takut untuk keluar rumah dan secara tidak langsung akan membataskan kegiatan harian mereka.

"Jadi, tekad polis sekarang adalah untuk memastikan kegiatan ini dapat dibendung daripada terus berleluasa," katanya di sini semalam.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri semalam bahawa kerajaan akan mengambil langkah ke arah mengurangkan jenayah dan rasuah di negara ini.

Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan demikian semasa mengumumkan 11 hadiah demi keselesaan rakyat sempena 100 hari pentadbiran beliau sebagai Perdana Menteri, yang turut menyentuh mengenai pelaksanaan enam bidang keberhasilan utama nasional (KRA) bagi menjayakan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dengan lebih berkesan.

Enam bidang tersebut ialah mencegah jenayah, memerangi rasuah, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan serta meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah.

Musa berkata bagi melaksanakan usaha mencegah jenayah jalanan, pasukan polis akan menambah bilangan anggota sedia ada selain memperbanyakkan bit dan pondok polis di kawasan tumpuan orang ramai serta kawasan yang dikenal pasti sebagai berisiko tinggi terhadap jenayah tersebut.

"Dengan penambahan pondok dan bit polis, akan membolehkan orang ramai membuat laporan dengan lebih cepat di mana maklumat yang dikumpulkan itu juga akan menjadi lebih cepat diberi perhatian dan diselesaikan oleh anggota kita," katanya.

Dalam usaha menangani gejala rasuah pula, Musa berkata pihak polis akan memperhebatkan kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan agensiagensi berkaitan, di samping kerjasama orang ramai.

Katanya kempen-kempen antirasuah telah berjaya memberi kesan kepada masyarakat dan penjawat awam, contohnya apabila dua anggota polis bertindak menolak rasuah sebanyak RM500,000 yang cuba disogokkan kepada mereka pada 2 Mei lalu oleh pengedar dadah.

"Kita percaya sikap keduadua anggota tersebut membuktikan bahawa kempen antirasuah telah berjaya membentuk peribadi anggota kita dan sewajarnya sifat itu menjadi tauladan kepada anggota-anggota lain dan juga masyarakat," katanya sambil menegaskan bahawa pasukan polis bertekad memerangi rasuh hingga ke akar umbi. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain