suria

Najib nafi akan umum pilihan raya tergempar waktu terdekat

JITRA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menolak andaian sesetengah pihak yang mendakwa kononnya pilihan raya umum ke-13 akan diadakan dalam masa terdekat.

Katanya, beliau tidak nampak keperluan mengadakan pilihan raya umum sekarang kerana mandat kerajaan yang ada masih panjang.

"Saya terbaca emel yang dihantar (dalam laman blognya) yang dihantar dari seorang pemimpin parti pembangkang mengatakan saya akan umumkan pilihan raya umum ke-13 dalam masa terdekat ini kerana sokongan rakyat terhadap kita (BN) semakin meningkat," katanya pada majlis Perjumpaan Bersama Rakyat di Dewan Wawasan di sini.

Beliau berkata, andaian itu tidak logik sama sekali kerana adalah mustahil untuk beliau umumkan pilihan raya umum di majlis-majlis bersama rakyat.

Najib berkata, beliau ada menerima emel daripada seorang pemimpin pembangkang yang meramalkan beliau akan mengadakan pilihan raya umum dalam tempoh terdekat berikutan sokongan rakyat yang semakin meningkat kepada Barisan Nasional (BN) ketika ini.

Mengulas lanjut mengenainya dalam sidang akhbar selepas itu, Perdana Menteri berkata, beliau sendiri belum tahu bila masanya untuk mengumumkan pilihan raya umum.

"Pemimpin pembangkang itu yang saya tidak mahu sebut namanya mungkin membuat andaian itu kerana sokongan rakyat terhadap BN sekarang telah meningkat dan saya enggan mengulas mengenainya kerana ketika membaca emel itu saya anggap ia adalah hiburan sahaja," kata beliau.

Kira-kira 10,000 orang menghadiri majlis Perjumpaan Bersama Rakyat yang diadakan sempena lawatan sehari Perdana Menteri ke negeri itu semalam. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain