suria

MCA Selangor mahu tuduhan Wee segera disiasat

SHAH ALAM: MCA Selangor Isnin menggesa Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjalankan siasatan secara adil dan menyeluruh terhadap dakwaan kononnya pejabat seorang anggota majlis mesyuarat kerajaan negeri (exco) digunakan sebagai tempat mengadakan mesyuarat bagi kegiatan haram.

Setiausahanya Lee Wei Kiat berkata Khalid perlu memberi penjelasan terhadap dakwaan Anggota Parlimen Wangsa Maju Wee Choo Keong bahawa beliau menerima banyak aduan daripada anggota gabungan parti PAS, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP serta masyarakat peniaga berhubung perkara itu.

"Dakwaan yang dibuat terhadap anggota exco Selangor ini sungguh memeranjatkan dan membimbangkan, lebih-lebih lagi kerana ia melibatkan perbuatan para peniaga menggunakan pejabat kerajaan sebagai tempat untuk bermesyuarat.

"Kalau dakwaan ini benar, maka perbuatan anggota exco berkenaan bermakna beliau telah menyalahgunakan kedudukannya dengan menjalin hubungan dengan pihak yang menjalankan perniagaan haram. Perkara ini amat serius," kata Lee dalam kenyataan di sini Isnin.

Dalam tulisan melalui blognya yang menyokong saranan Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Bukit Antarabangsa daripada PKR, Azmin Ali agar barisan exco Selangor dirombak, Wee berkata dakwaan beliau itu bukan suatu rahsia lagi di pejabat pentadbiran negeri.

"Ini sesuatu yang paling tidak sihat kerana ia akan memberi gambaran bahawa anggota exco berkenaan menyokong kegiatan perniagaan haram dan perkara yang tidak sepatutnya berlaku ini akhirnya akan menjejaskan imej kerajaan Pakatan," kata Wee dalam tulisannya.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan nama anggota exco itu atau menjelaskan jenis kegiatan haram yang dimaksudkan.

Lee juga menggesa anggota exco yang dikaitkan dengan perkara itu supaya melepaskan jawatannya dengan segera bagi memastikan siasatan secara adil dan menyeluruh dapat dijalankan dengan lancar, demi memelihara kepentingan rakyat Selangor.

"Saya harap Tan Sri Khalid Ibrahim tidak akan memandang remeh perkara ini dan menyapunya ke bawah permaidani," kata pengerusi MCA Bahagian Sugang itu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain