suria

Malaysia berunding dengan syarikat farmaseutikal untuk vaksin H1N1

KUALA LUMPUR: Malaysia sedang berbincang dengan beberapa syarikat farmaseutikal antarabangsa untuk mendapatkan bekalan vaksin influenza A(H1N1) segera bagi keperluan 200,000 petugas barisan hadapan di kesemua 53 pintu masuk dan keluar rasmi negara.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata petugas terlibat perlu diberikan vaksin khas H1N1 bagi mengelak daripada jangkitan virus itu ekoran pengumuman terkini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa wabak tersebut sukar dihalang.

"Kerajaan memang dalam usaha menempah vaksin itu agar apabila vaksin itu berada di pasaran, Malaysia antara negara yang terawal mendapatkannya," katanya dan menambah kerajaan sedang berbincang dengan beberapa syarikat farmaseutikal antaranya dari Amerika Syarikat dan Eropah untuk mendapatkan bekalan vaksin itu.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Epidemic Intelligence Program (EIP) Malaysia 3rd Cohort Graduation di sini hari ini, beliau berkata kos pembelian vaksin itu masih belum dapat ditentukan memandangkan perbincangan dengan syarikat pembekal masih dijalankan.

"Apabila siap vaksin itu, ia akan diumum kepada orang ramai (seperti) berapa banyak dos yang perlu diambil," katanya.

Ketika ini petugas barisan hadapan diberi pelalian vaksin "seasonal flu" yang mengandungi komponen dari virus influenza A (H3N2), influenza A (H1N1) dan influenza B setiap tahun bermula tahun 2007.

Vaksin yang disuntik itu juga tidak melindungi mereka daripada dijangkiti virus berkenaan, sebaliknya sekadar membantu mengenal pasti kes berpotensi.

Petugas barisan hadapan terdiri daripada penjawat awam di bawah kategori anggota kesihatan dan perubatan, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Imigresen.

Mengenai situasi terkini influenza A(H1N1) di Malaysia, Liow berkata 32 kes dilaporkan dalam negara sehingga pukul 8 pagi ini yang terdiri daripada 20 kes import dan 12 kes jangkitan tempatan.

"Ini menjadikan jumlah kes di Malaysia meningkat kepada 804 kes. Daripada jumlah itu 696 atau 86 peratus pesakit sembuh, 77 dikuarantin di rumah dan 31 pesakit lagi masih di rawat di hospital," katanya.

Liow berkata ketika ini Kelas 2 Nilam di Sekolah Kebangsaan Intan Baiduri Gombak juga turut ditutup berikutan penularan wabak itu manakala Sekolah Rendah Sultan Sulaiman 1, Kuala Terengganu dan kelas tingkatan empat Jaya, Sekolah Menengah Aminuddin Baki Kuala Lumpur masih ditutup sehingga esok.

Terdahulu dalam ucapannya, Liow berkata Malaysia memerlukan lebih ramai pakar dalam bidang epidemiologi bagi menangani wabak yang melanda negara seperti influenza A(H1N1).

Untuk itu beliau berkata program EIP Malaysia adalah program yang penting bagi melatih lebih ramai pakar rujuk dalam bidang epidemiologi bagi memperkukuh kawalan penyakit dalam negara.

"Sejak ia dimulakan beberapa tahun lepas, 115 pakar perubatan kesihatan awam didedahkan dengan modul Introductory Course EIP dan 35 orang sudahpun dan sedang menjalani program ini selama dua tahun," katanya.

Liow berkata program itu menggunakan modul latihan yang disediakan Training in Epidemiology and Public Health Networks (TEPHINET) dengan 42 buah negara turut menggunakan kaedah latihan ini. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain