suria

Liu desak Wee dedah Exco Selangor terlibat perniagaan haram

SHAH ALAM: Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Selangor Ronnie Liu mendesak Anggota Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong menamakan Exco Selangor yang didakwa menggunakan pejabatnya untuk mengadakan mesyuarat dengan mereka yang dikaitkan dengan perniagaan haram.

Wee sebelum ini menulis di dalam blognya beliau menerima banyak aduan daripada anggota pakatan pembangkang dan golongan peniaga di Selangor bahawa pejabat seorang ahli Exco telah dan sedang digunakan sebagai tempat bermesyuarat mereka yang dikatakan mempunyai kaitan dengan peniagaan haram dan aktiviti yang boleh dipersoalkan.

Liu, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Pandamaran, berkata Wee perlu menamakan Exco yang dimaksudkan itu supaya tindakan undang-undang boleh diambil terhadapnya.

"Kalau dia (Wee) berani, betul-betul anak jantan, namakan orang itu (Exco) supaya tindakan undang-undang boleh diambil," katanya kepada para pemberita selepas persidangan dewan berhenti rehat.

Isu Exco menggunakan pejabatnya untuk bermesyuarat dengan mereka yang mempunyai kaitan dengan perniagaan gelap ditimbulkan Wee di dalam blognya selepas ADUN Bukit Antarabangsa Mohamed Azmin Ali meminta dilakukan rombakan terhadap barisan Exco kerajaan negeri.

Sementara itu, Ketua Pembangkang Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo berkata rombakan itu perlu dilakukan kerana ada di antara anggota Exco dipercayai mempunyai pengaruh terhadap kongsi-kongsi gelap.

Jika ada yang bersekongkol dengan kegiatan gelap agak sukar untuk kerajaan negeri membanteras kegiatan haram seperti rumah-rumah urut tanpa lesen dan pusat siber tidak sah.

Walaupun lesen-lesen rumah urut dan pusat siber dibekukan sejak 2006, jumlah keduadua perniagaan haram itu tidak dibendung dan semakin meningkat, katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain