suria

Husam: PAS jangkakan akan kalah di Manek Urai

KUALA KRAI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Manek Urai yang baru dari PAS, Mohd. Fauzi Abdullah menyifatkan kemenangan yang diperoleh hari ini bukan kejayaan peribadi beliau semata-mata.

Sebaliknnya beliau berkata, ia adalah kemenangan Islam secara keseluruhan.

"Saya berterima kasih kepada semua pengundi yang telah mengundi saya, saya bersyukur pilihan raya ini berjalan dengan lancar.

"Saya akan menjadi ADUN dengan sebaik mungkin tanpa mengira fahaman politik," katanya ketika ditemui selepas diumumkan memenangi kerusi DUN Manek Urai sebentar tadi.

Fauzi berjaya mengekalkan kedudukan PAS di Manek Urai hari ini dengan majoriti tipis 65 undi.

Beliau memperoleh 5,348 undi manakala calon Barisan Nasional (BN), Tuan Aziz Tuan Mat menerima 5,283.

Keputusan itu diumumkan secara rasmi oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Adnan Hussin pukul 9.07 malam.

Bagaimanapun calon BN dan pemimpin-pemimpin parti itu tidak kelihatan di pusat penjumlahan undi yang diadakan di Sekolah Menengah Sultan Yahya Petra 1.

Dipercayai mereka terperangkap dalam kesesakan lalu lintas yang teruk dari Manek Urai ke Kuala Krai.

Sementara itu, Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa berkata, beliau sangat berbangga dengan pengundi di kawasan Manek Urai kerana mempunyai ketahanan diri yang kuat walaupun wang yang banyak digunakan.

"Majoriti tidak penting kerana kita (PAS) bukan sahaja berhadapan dengan jentera pilihan raya tetapi penggunaan politik wang juga," kata beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS.

Husam yang juga Naib Presiden PAS memberitahu, pihaknya sebenarnya menjangkakan bahawa parti itu akan kalah kali ini.

Oleh itu, beliau menyifatkan malam ini sebagai satu kejayaan luar biasa.

Ditanya sama ada kemerosotan undi malam ini disebabkan faktor kehadiran Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa, Husam berkata:

"Itu soalan nakal."

"Hari ini kita bersyukur kepada semua pihak malam ini. Kita akan analisis keputusan hari ini," katanya lagi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain