suria

Pentadbiran awam yang berkesan akan perjelas konsep 1Malaysia

ALOR SETAR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata peranan pentadbiran awam yang berkesan, responsif, luwes dan berani berubah akan membantu memperjelaskan konsep 1Malaysia.

Perdana Menteri gembira kerana inisiatif modenisasi dalam pentadbiran awam sejak mengambil alih kepimpinan negara telah mendapat sokongan dan kerjasama padu daripada barisan kepimpinan tertinggi perkhidmatan awam.

Berucap pada majlis perasmian Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Bandar Mu'adzam Shah, Anak Bukit di sini hari ini, beliau berkata modenisasi itu bukanlah bersifat "top down", sebaliknya membabitkan gabung jalin semua segmen perkhidmatan awam bermula dengan pimpinan atasan.

Sultan Kedah Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah merasmikan kompleks berharga RM270 juta itu yang terletak di atas tapak seluas 16.1 hektar.

Najib berkata proses modenisasi itu bukan sahaja membabitkan paradigma tetapi juga struktural yang mana perkhidmatan awam itu perlu sesuai dengan pencapaian negara pada alaf baru.

"Sebagai penjawat awam, produktiviti dan kualiti perkhidmatan perlu diutamakan. Saya amat percaya produktiviti yang digabungkan bersama kreativiti dan inovasi mampu melonjakkan kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan awam," katanya.

Perdana Menteri berharap anggota-anggota perkhidmatan awam menggunakan dan menjaga kemudahan dengan penuh berintegriti serta mengutamakan keberhasilan mutu kerja.

Mengenai kompleks yang menempatkan kira-kira 40 jabatan dan agensi persekutuan dan negeri ini, beliau berharap ia dapat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh setiap anggota perkhidmatan awam.

"Kita harus menerapkan nilai dan budaya bekerjasama sebagai satu komuniti tidak mengira perbezaan jabatan atau agensi, pangkat, bangsa dan juga agama dalam memelihara bangunan yang diduduki," katanya.

Najib turut mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abd Razak yang sentiasa memberi kerjasama kepada kerajaan pusat bagi menjayakan majlis perasmian itu.

Katanya pembangunan kompleks itu adalah projek kerajaan persekutuan dan merupakan yang kedua seumpamanya di negara ini selepas pembinaan kompleks persekutuan Sabah pada 2007.

Kompleks dengan enam bangunan utama setinggi antara satu dan lapan tingkat itu yang terletak antara bandaraya Alor Setar dan lapangan terbang Sultan Abdul Halim kini merupakan mercu tanda terbaru perkembangan perkhidmatan awam di Kedah.

Sempena perasmian itu, Sultan Kedah yang diiringi Sultanah Kedah Sultanah Haminah Hamidun bersama Najib dan Azizan turut melawat bangunan Mahkamah Syariah.

Mahkamah Syariah adalah antara komponen utama kompleks itu selain bangunan Wisma Persekutuan, Bangunan Kementerian Dalam Negeri, Dewan Serbaguna dan Kompleks Kesejahteraan Keluarga.

Turut hadir sama di majlis itu ialah Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hasan. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain