suria

Pelajar dipaksa bergusti, polis ambil keterangan lima pelajar

KUALA TERENGGANU: Polis akan mengambil keterangan lima pelajar perempuan dari dua sekolah menengah di Dungun, berhubung insiden pergaduhan sesama sendiri, di sebuah surau di Kampung Ketengah Jaya, Dungun bulan lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu ACP Mohd Fauzi Abduri berkata tiga daripada mereka ialah pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan Ketengah Jaya, yang didakwa dalang kejadian itu.

"Kami telah kenalpasti ketiga-tiga pelajar terbabit. Polis juga akan mengambil keterangan dua lagi pelajar termasuk seorang pelajar yang menjadi mangsa dalam kejadian itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana bergaduh sehingga mendatangkan kecederaan.

Semalam, seorang pelajar perempuan Tingkatan Satu sebuah sekolah menengah di Dungun, membuat laporan polis selepas adegan dia bergusti dengan rakan karib secara paksa dalam satu kejadian 18 Jun lepas, disebar melalui internet dan telefon bimbit.

Mangsa membuat laporan polis kerana malu apabila adegan bergusti secara paksa itu dirakam tiga pelajar perempuan lain. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain