suria

KRA dilaksana mulai September ini - Koh

PUTRAJAYA: Kesemua enam teras Petunjuk Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Sabtu lepas akan dilaksanakan mulai September tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata sehubungan itu sebuah bengkel khas melibatkan semua anggota Kabinet akan diadakan pada akhir Ogos bagi memastikan kecapaian NKRA berada pada tahap optimum.

Beliau berkata kerajaan juga telah mengeluarkan arahan untuk semua kementerian mengenal pasti lapangan KRA masing-masing bagi memastikan pelaksanaan yang berkesan di peringkat kementerian apabila ia dilaksanakan.

"Dengan pengumuman enam teras NKRA itu, konsepnya menjadi semakin jelas dan akan membuatkan rakyat lebih faham dengan kesungguhan kerajaan untuk mengutamakan kehendak dan keperluan rakyat.

"KRA di peringkat menteri pula akan dilaksanakan bermula Januari tahun depan dan semua kementerian akan diarah mengenal pasti lapangan KRA masing-masing untuk memperoleh pencapaian yang optimum," katanya pada sesi taklimat NKRA dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) di pejabatnya di sini hari ini.

NKRA yang diumum Sabtu lepas menggariskan enam teras utama terdiri daripada membanteras jenayah, membanteras rasuah, meningkatkan pendidikan, menaik taraf isi rumah berpendapatan rendah, menaik taraf infrastruktur asas di kawasan pedalaman dan menaik taraf sistem pengangkutan di kawasan bandar.

Koh berkata penilaian terhadap KPI menteri Kabinet akan dilaksana mulai Jun tahun depan, selepas Perdana Menteri mengadakan sesi perbincangan bersama barisan Kabinet untuk menghalusi perancangan KPI menteri.

"Perbincangan itu dijangka diadakan antara bulan November dan Disember sebelum kesemua perancangan itu dibentang kepada umum bermula Januari tahun depan," katanya.

Beliau berkata Perdana Menteri juga akan mengumumkan sekurang-kurangnya satu KPI untuk setiap teras KRA sebagai KPI negara (NKPI).

"Sebagai contoh, dalam aspek jenayah, KPI itu akan mengenalpasti jenis jenayah yang perlu dikurangkan, peratusan penurunan dan jangka masa penurunan.

"Dengan cara ini, rakyat boleh mengetahui dan memahami dengan jelas setiap pelaksanaan kerajaan dan komitmen kami dalam menunaikan segala janji yang telah dibuat," katanya.

Najib juga katanya, akan mempengerusikan mesyuarat KRA pada setiap bulan untuk memastikan semua kementerian melaksanakan KRA masing-masing dengan sempurna dan efektif.

"Sebaik sahaja kementerian terlibat berjaya menyempurnakan mana-mana teras KRA di bawah portfolio masingmasing, mereka boleh beralih ke teras seterusnya," katanya. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain