suria

Liow: 4 pelajar UiTM Melaka dikesan jangkitan H1N1

MELAKA: Empat penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu, Alor Gajah disahkan positif Influenza A (H1N1), kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata, seorang dari empat penuntut itu kini dirawat di Hospital Melaka manakala tiga lagi dikuarantin di asrama kampus itu.

"Buat masa ini keadaan di UiTM Lendu terkawal," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Konvensyen MCA Melaka oleh Presiden MCA Datuk Ong Tee Keat di Wisma MCA di sini, hari ini.

Dipertik Bernama, Liow berkata, satu pasukan kesihatan ditempatkan di kampus berkenaan untuk membuat pemantauan dan penilaian secara menyeluruh terhadap keadaan di kampus itu.

"Kita nak pastikan tidak ada penularan Influenza A (H1N1) dalam kampus itu dan tindakan kawalan dan pencegahan telah pun diambil dengan segera," katanya.

Beliau berkata, jika berlaku penularan kemungkinan kampus berkenaan terpaksa ditutup untuk sementara waktu.

Liow berkata, pihaknya juga mendapat kerjasama baik daripada pihak pentadbiran UiTM dalam menangani kes berkenaan termasuk dibantu seorang doktor yang berkhidmat di kampus itu.

Beliau berkata, ramai penuntut di kampus itu yang terkena selesema biasa dan petugas kesihatan turut memantau mereka.

Ditanya punca jangkitan terhadap empat penuntut terbabit, beliau berkata, ia belum diketahui.

BERITA TERDAHULU

PETALING JAYA: Empat pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Lendu, Alor Gajah, Melaka telah dikesan dijangkiti influenza A (H1N1) semalam - kes terbaru jangkitan tersebut.

Menteti Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang mengesahkan perkara itu berkata, pihak berkuasa kesihatan sedang mengambil langkah-langkah sewajarnya termasuk mengkuarantin pelajar bagi mengawal jangkitan.

mStar Online difahamkan tiga blok asrama dikuarantin sebagai langkah berjaga-jaga pengurusan universiti berkenaan.

Ibu bapa yang menghubungi mStar Online tengah hari tadi memberitahu, menjelang pukul 11 pagi pihak pengurusan telah mengkuarantin dua asrama yang dihuni pelajar lelaki dan satu asrama pelajar perempuan.

Blok yang dikuarantin ialah Kolej Tun Senaja (perempuan) dan Kolej Jebat dan Kolej Lekiu (lelaki).

UiTM cawangan itu mempunyai lebih 5,000 pelajar.

Berdasarkan maklumat yang diperoleh, kakitangan dan kenderaan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka turut berada di kawasan blok-blok yang dikuarantin.

Memandangkan hari ini adalah cuti hujung minggu, cawangan itu turut dibanjiri ibu bapa yang melawat anak mereka selain ada yang menghantar pelajar pulang ke asrama masing-masing selepas cuti.

Universiti-universiti awam memulakan sesi pengajian semester satu 2009/2010 minggu lalu dengan pengambilan pelajar baru diterima dua minggu lalu.

Laporan Bernama yang memetik Pengarah UiTM Melaka, Prof. Madya Datuk Dr. Mizan Hitam berkata, seorang pelajar lelaki cawangan itu telah dimasukkan ke Hospital Melaka untuk rawatan setelah disyaki dijangkiti A(H1N1) malam tadi.

Katanya, pelajar itu berusia 18 tahun.

"Langkah pencegahan telah diambil di kampus tersebut dan setakat ini (tengah hari tadi) tidak ada pelajar yang dikuarantin.

"Semua aktiviti termasuk kelas berjalan seperti biasa," kata beliau sambil menambah, tiada juga larangan untuk urusan keluar masuk ke kampus itu.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Melaka, Dr. Ghazali Othman berkata, pelajar berkenaan sedang menerima rawatan lanjut di hospital.

Jabatan Kesihatan telah membuat saringan terhadap pelajar lain yang pernah mempunyai kontak dengan pelajar berkenaan, kata Dr. Ghazali.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain