suria

Tuduhan terhadap Mirza dipinda

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes rasuah bekas Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Mirza Mohammad Taiyab hari ini mencatat kejutan kecil apabila pertuduhan terhadapnya dipinda sebelum pihak pendakwaan menutup kes mereka.

Hakim Mahkamah Sesyen, Zainal Abidin Kamarudin membenarkan pindaan berkenaan dibuat selepas pihak pendakwaaan dan pembelaan, yang sebelum itu berhujah selama dua jam setengah mengenai perkataan "menyetujuterima", memberitahu mahkamah bahawa mereka mencapai persetujuan mengenainya.

Apabila dimaklumkan tentang perkara itu, Zainal Abidin berkata: "Sepatutnya saya dimaklumkan lebih awal tentang perkara ini".

Pada 19 Jun, pihak pendakwaan membuat kejutan ketika mahkamah berkenaan dijadual mendengar hujah pada akhir kes pendakwaan dan berikutan itu, hakim menangguhkan perbicaraan ke hari ini bagi mendengar hujah kedua-dua pihak. Selepas mahkamah mengguna pakai Seksyen 162 Kanun Acara Jenayah, yang memberi hak kepada pihak pembelaan memanggil saksi mereka, peguam Saseedhran Menon, yang mewakili Mirza, berkata beliau tidak akan berbuat demikian dan meminta mahkamah meneruskan perbicaraan.

Hakim berkenaan kemudian menetapkan 17 Julai sebagai tarikh penghujahan.

Mirza, 51, dituduh bersetuju menerima, tanpa membuat pertimbangan, rawatan pergigian bernilai RM13,860, yang dijelaskan bayarannya oleh pengarah Syarikat Perunding Pakar Media Zulhisyam Ayob, walaupun mengetahui bahawa syarikat itu mempunyai hubungan dengan fungsi rasmi beliau sebagai Ketua Pengarah I Lembaga Penggalakan Pelancongan ketika itu.

Mirza dituduh melakukan kesalahan itu di klinik pergigian Clinical Practise Prosthodontics Sdn Bhd, di Taman Tun Dr Ismail antara 17 Jan dan 26 Julai 2005.

Jika sabit kesalahan, Mirza boleh dikenakan hukuman penjara hingga tidak lebih dua tahun atau denda atau keduaduanya, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, mahkamah menjadi medan perbahasan mengenai bahasa apabila pihak pendakwaan dan pembelaan saling memberi hujah tentang penggunaan perkataan yang sesuai dalam kertas pertuduhan.

Timbalan pendakwa raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kevin Morais membuat permohonan bagi menggantikan perkataan "menerima" dalam kertas berkenaan dengan "menyetujuterima" supaya sejajar dengan Akta Pencegahan Rasuah.

Katanya kesalahan yang didakwa dilakukan oleh Mirza mengikut Kanun Keseksaan, merupakan kesalahan yang terkandung dalam Akta Pencegahan Rasuah.

Bagaimanapun, Menon mahu agar perkataan "menerima", yang terkandung dalam kertas pertuduhan, dikekalkan kerana katanya perkataan "menyetujuterima" tidak terdapat dalam kamus.

Kedua-dua pihak kemudian bersetuju agar perkataan "menyetujuterima" digunakan, tetapi disusuli dengan perkataan "accepts", dalam tanda kurungan. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain