suria

Tiga warga asing ditahan bersama dadah bernilai RM1.25 juta

KUALA LUMPUR: Tiga wanita warga asing yang bertindak sebagai kurier satu sindiket pengedaran dadah antarabangsa ditahan bersama dadah syabu seberat 4.8kg bernilai RM1.25 juta dalam satu serbuan di sebuah hotel di Jalan Petaling di sini.

Dalam serbuan kira-kira 11.40 pagi Selasa lepas, polis menahan dua wanita warga Indonesia yang masing-masing berusia 24 dan 26 tahun selain seorang wanita warga Thailand berumur 41 tahun dalam bilik berasingan di hotel berkenaan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berkata pemeriksaan polis ke atas wanita Indonesia berusia 24 tahun itu mendapati satu bungkusan plastik berwarna coklat mengandungi ketulan dan serbuk kristal disyaki dadah syabu seberat 2kg yang disorok dalam beg pakaian suspek.

"Pemeriksaan selanjutnya, polis menjumpai dua bungkusan plastik berwarna gelap yang mengandungi ketulan dan serbuk kristal putih masing-masing seberat 1.6kg dan 1.1kg," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini semalam.

Beliau berkata polis turut merampas wang tunai pelbagai mata wang termasuk RM891; Rupiah 501,600; USD$400 dan 680 Baht.

Muhammad Sabtu berkata ketiga-tiga suspek itu yang tidak mengenali antara satu sama lain, dipercayai menjadi mangsa sindiket pengedaran dadah antarabangsa sejak sebulan yang lepas menjadikan negara ini sebagai transit sebelum dadah itu dibawa ke Indonesia dan Thailand.

"Mereka masuk ke negara ini menggunakan visa pelancong dan mengaku tidak mengetahui kandungan dalam beg yang dibawa dan cuma diberitahu ada barang berharga.

"Mereka dibayar RM3,000 sahaja setiap kali penghantaran dan hanya mengikut arahan," katanya.

Beliau berkata kesemua suspek yang tidak mempunyai sebarang rekod jenayah itu ditahan reman selama tujuh hari sehingga 13 Julai ini mengikut seksyen 117 Kanun Acara Jenayah dan kes disiasat menurut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

"Polis masih menyiasat punca bekalan dadah diperoleh dan siasatan diteruskan bagi mengenal pasti individu lain yang terbabit dalam sindiket pengedaran dadah itu," katanya.

Polis percaya suspek yang menjadi dalang utama dalam sindiket itu adalah warga Afrika kerana salah seorang suspek yang ditahan pernah dua kali pergi ke Afrika Selatan. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain