suria

Serah laporan juruadit palsu: setiausaha didenda RM15,000

KUALA LUMPUR: Akibat menipu dengan menyerahkan laporan juruaudit palsu kepada pengarahpengarah syarikat tempat dia bekerja, seorang setiausaha didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini semalam.

Hakim Rozina Ali Yusoff memerintahkan Roslina Ahmad, 43, yang mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan menipu itu didenda RM5,000 bagi setiap pertuduhan.

Rozina bagaimanapun membenarkan Roslina membayar denda tersebut secara ansuran sebelum 1 Sept ini setelah mendengar rayuannya dan hanya akan menetapkan hukuman penjara jika Roslina gagal membayar denda yang dikenakan.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan tersebut Roslina didakwa menipu dengan memberikan satu laporan palsu kepada pengarahpengarah syarikat Darul Ehsan Food Supply Sdn Bhd berhubung laporan juruaudit bertarikh 18 Okt 2002.

Laporan palsu itu terkandung dalam penyata kewangan syarikat Darul Ehsan Food Supply Sdn Bhd bagi tahun berakhir 31 Dis 1999, 31 Dis 2000 dan 31 Dis 2001.

Roslina didakwa melakukan kesemua kesalahan tersebut di Darul Ehsan Food Supply Sdn Bhd di 22A, Jalan 6/6, Pandan Indah Commercial Park, antara 14 Okt 2002 dan 19 Okt 2002.

Untuk semua kesalahan tersebut dia didakwa di bawah Seksyen 364A(1) (a) Akta Syarikat 1965 jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda RM250,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Syarikat Malaysia Madihah Mohd Faizi manakala Roslina tidak diwakili peguam. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain