suria

Persidangan Dewan Negara ditangguh selepas empat hari bersidang

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Kedua Dewan Negara bagi Penggal Kedua, Persidangan Parlimen ke12 yang bersidang sejak 6 Julai lepas ditangguhkan semalam.

Mesyuarat itu yang sepatutnya berakhir Selasa depan, bersidang selama empat hari selepas disingkatkan selama dua hari berikutan perbahasan rang undang-undang dan urusan kerajaan telah diselesaikan.

Sepanjang persidangan, Dewan Negara meluluskan empat rang undang-undang baru dan lima rang undang-undang untuk meminda akta sedia ada.

Rang undang-undang baru ialah Rang Undang-Undang Makanan Haiwan 2008, Rang Undang-Undang Identifikasi Asid Deoksiribonukleik (DNA) 2008, Rang Undang-Undang Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 dan Rang Undang-Undang Bank Negara Malaysia 2009.

Rang undang-undang pindaan pula ialah Rang Undang-Undang Latihan Khidmat Negara (Pindaan) 2008, Rang Undang-Undang Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (Pindaan) 2008, Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2008, Rang Undang-Undang Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Pindaan) (Pindaan) 2009 dan Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (Pindaan) 2009. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain