suria

Pegawai penyiasat tidak tahu punca Sujatha minum racun rumpai

KUALA LUMPUR: Pegawai penyiasat kes kematian pelakon K. Sujatha memberitahu Mahkamah Koroner hari ini bahawa siasatannya tidak dapat memastikan punca sebenar pelakon itu meminum racun rumpai.

Bagaimanapun, ASP Zulkifeli Pajar berkata siasatannya mendapati Sujatha meninggal dunia akibat meminum racun rumpai tersebut tanpa penglibatan orang lain.

Ketika disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya Geethan Ram Vincent sama ada beliau mengesyaki terdapat unsurunsur jenayah dalam kematian Sujatha, Zulkifeli berkata tidak ada.

Zulkifeli berkata beliau telah pergi ke unit kondominium di Jalan Ipoh yang pernah didiami Sujatha bersama adik mangsa K.

Surenthiran tiga minggu selepas kematian pelakon itu tetapi beliau tidak menemui botol racun rumpai di premis tersebut.

"Surenthiran ada maklumkan kepada saya bahawa beliau telah pun membuang botol itu ketika membersihkan bilik," katanya.

Zulkifeli memberitahu Koroner Mohd Faizi Che Abu bahawa selain mengambil gambar di bilik tersebut, beliau juga mengambil tiga calitan dari bilik, sekeping gambar Ketua Pegawai Eksekutif Maika Holdings S. Vell Paari bersama isterinya, serta dua dairi harian milik Sujatha.

Katanya tiga calitan itu dihantar untuk dianalisis di Jabatan Kimia dan keputusannya negatif untuk kesan racun rumpai kerana besar kemungkinan disebabkan bilik itu telah pun dibersihkan.

Beliau turut membawa seorang lagi adik Sujatha, K. Ugenthiran, ke sebuah kedai barangan logam di Ipoh, Perak tempat racun rumpai itu dibeli dan pemiliknya tidak dapat mengecam Ugenthiran tetapi mengaku ada menjual racun rumpai jenis yang sama.

Inkues itu diadakan berikutan kematian aktres berumur 28 tahun itu di Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang pada 25 Jun, 2007, enam hari selepas dimasukkan ke hospital itu atas dakwaan meminum racun rumpai.

Kepada satu soalan lain, Zulkifeli memberitahu Koroner bahawa Sujatha memang menghadapi masalah kesihatan di mana pelakon itu sering mendapat rawatan di klinik serta di Damai Service Hospital untuk ketumbuhan di bahagian ovari.

Ketika disoal balas oleh peguam Datuk K. Kumaraendran yang mewakili Paari mengenai kali terakhir Sujatha mendapat rawatan perubatan, Zulkifeli berkata seminggu sebelum mangsa dikatakan meminum racun.

Koroner Mohd Faizi menetapkan 25 Ogos depan untuk sebarang penjelasan lanjut dan rumusan beliau tentang prosiding inkues. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain